BATU PAHAT – Proses pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah selesai di peringkat rundingan awal dan kini menunggu pengesahan Majlis Presiden PH.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyerahan tersebut untuk diteliti terlebih dahulu sebelum dipersetujui Majlis Presiden PH.
“Kami sudah ada garis panduan jelas dan proses tapisan sedang berjalan. Kita berada pada landasan yang betul untuk bersedia menghadapi hari penamaan calon nanti.
“Tetapi disebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru semalam berlepas ke Tokyo, Jepun selama tiga hari apabila beliau pulang, saya akan dapatkan tarikh yang paling awal untuk keputusan itu bagi memuktamadkan pembahagian kerusi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pasa 1 Jun lalu bagi memberi laluan untuk PRN Johor.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.- MalaysiaGazette
















