SHAH ALAM – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) menganjurkan Karnival Pelancongan Islam selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, karnival pelancongan yang akan diadakan di Kompleks PKNS itu dijangka meraih hasil jualan lebih kurang RM5 juta dengan kehadiran 30,000 pengunjung.
Selain mengetengahkan ahli-ahli persatuan dalam industri itu karnival berkenaan merupakan pembukaan kepada jelajah yang akan diadakan di seluruh negara pada masa akan datang, katanya.
“Karnival ini adalah untuk memberi peluang kepada rakan-rakan kita untuk mempromosi produk mereka kita dan memudahkan akses kepada pelanggan,” katanya pada sidang media di pejabat PAPUH hari ini.

Beliau berkata, dijangka sebanyak 100 hingga 150 reruai agensi pelancongan akan tersedia semasa karnival kelak.
Mengulas lanjut, katanya, agensi yang menyertai karnival tidak hanya terhad untuk mempromosikan pakej umrah dan haji.
“Syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan tetapi bukan ahli PAPUH turut dijemput menyertai karnival. Juga tidak hanya untuk umrah dan haji tetapi pelancongan luar mahupun dalam negara juga boleh dipromosikan sewaktu karnival itu nanti,” jelasnya sambil memberi jaminan harga pakej yang ditawarkan ketika itu adalah berpaturan.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAPUH, Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, tren pelancongan umrah dilihat semakin berkurang selepas berlakunya krisis antarabangsa namun kemerosotannya tidak ketara.

“Sekarang kita nampak trend mengembara umrah menurun tapi tetap sentiasa ada sebab penerbangan pun sentiasa ada, tidak ada yang dibatalkan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















