Ahmad Azlan Abu Bakar

KUANTAN – Dewan Pemuda Pas Pahang menegaskan keputusan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu bukan tanda kelemahan, sebaliknya membuktikan ketegasan Pas dalam mempertahan prinsip perjuangan mereka.

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, masih ramai pihak gagal memahami asas sebenar pendekatan politik Pas selepas Pas Pusat mengumumkan penamatan kerjasama dengan Bersatu serta kesediaan meneroka bentuk kerjasama politik baharu demi agenda penyatuan ummah.

Menurutnya, terdapat pihak khususnya daripada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) cuba membina persepsi kononnya Pas kehilangan kekuatan politik dan kewangan susulan keputusan tersebut.

“Persepsi ini dangkal kerana Pas tidak pernah membina kerjasama politik berasaskan kepentingan material atau keuntungan jangka pendek.

“Sebaliknya, Pas sentiasa meletakkan maslahat ummah, kestabilan negara dan kepentingan rakyat sebagai pertimbangan utama dalam setiap keputusan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejarah juga membuktikan Pas pernah membantu UMNO ketika parti itu berdepan cabaran besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 menerusi pembentukan Muafakat Nasional (MN).

Katanya, langkah itu dibuat atas kesedaran pentingnya penyatuan umat Melayu-Islam dan bukannya demi kepentingan politik sempit.

“Justeru, tidak tepat untuk menuduh Pas sebagai pihak yang meruntuhkan MN kerana keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama itu dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO sendiri.

“Malah hari ini UMNO dilihat lebih selesa bersama DAP dan PH demi kuasa berbanding agenda penyatuan ummah,” katanya.

Mengulas hubungan Pas dan Bersatu, Ahmad Azlan berkata, Pas bukan sebuah parti yang bergerak berdasarkan emosi atau tekanan politik semasa sebaliknya mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas.

Jelasnya, Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak namun kerjasama itu mestilah dibina atas asas saling menghormati dan tidak mencabuli prinsip perjuangan parti.

“Apabila terdapat perkara yang mengganggu asas perjuangan, maka kepimpinan parti bertanggungjawab mengambil langkah terbaik demi menjaga integriti perjuangan.

“Keputusan Pas bukan tanda kelemahan tetapi bukti ketegasan parti mempertahankan prinsip walaupun berdepan pelbagai tuduhan dan serangan politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan Pas akan terus konsisten dengan agenda penyatuan ummah dan sentiasa membuka ruang rundingan kepada mana-mana pihak yang menghormati prinsip perjuangan serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Katanya, kekuatan sebenar dalam politik bukan terletak pada jumlah dana atau kedudukan sementara, tetapi kemampuan mempertahan prinsip ketika berdepan ujian.

“Sebagai ahli Pas, kami yakin setiap keputusan kepimpinan tertinggi parti dibuat berdasarkan pertimbangan syarak, maslahat perjuangan dan kepentingan ummah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast