Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar memegang memorandum yang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung desakan agar siasatan kes dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion diteliti semula, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 Jun 2026.

PUTRAJAYA – Satu perhimpunan besar-besaran dikenali sebagai ‘Tangkap Shafie Apdal’ anjuran Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 bakal diadakan di Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu pada 4 dan 5 Julai ini.

Penasihatnya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, himpunan yang digerakkan gabungan pertubuhan belia dan mahasiswa dari seluruh Sabah itu mahu menyuarakan aspirasi mereka berkaitan isu integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

“Saya selaku Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan dimaklumkan bahawa satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan pada 4 dan 5 Julai di Sabah dengan tema ‘Tangkap Shafie Apdal’.

“Belia dan mahasiswa yang terlibat datang berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan dan sokongan,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai penggunaan karikatur dalam kempen himpunan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa ia merupakan satu bentuk tindak balas atau balas dendam terhadap pihak tertentu.

“Itu idea daripada golongan belia sendiri. Saya tidak mahu campur tangan dan tidak mahu memberikan sebarang komen sama ada ia berbentuk balas dendam atau sebaliknya. Itu urusan dan pandangan mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kumpulan yang menganjurkan himpunan tersebut terdiri daripada pertubuhan belia dan mahasiswa yang hadir khas dari Sabah untuk mengumumkan program berkenaan.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pihak penganjur akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai objektif, pengisian serta perjalanan himpunan tersebut dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan pihak penganjur di Sabah akan memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai program ini. Apa yang saya boleh sahkan ialah perhimpunan besar-besaran itu akan berlangsung Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu pada 4 dan 5 Julai ini,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai, khususnya golongan belia, untuk hadir dan bersama-sama menyertai himpunan tersebut sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan yang dibawa oleh penganjur.

“Perhimpunan itu dijangka menarik penyertaan 1,000 anak muda dari seluruh Sabah serta menjadi antara acara himpunan awam terbesar yang dianjurkan oleh pertubuhan belia dan mahasiswa di negeri itu tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast