Mohd Rofaei (duduk, tengah) mengumumkan Bersatu Bahagian Temerloh dibubarkan dan mengambil keputusan menyertai Gerakan RESET di Temerloh hari ini.

TEMERLOH –  Jawatankuasa Bersatu Bahagian Temerloh mengumumkan pembubaran kepimpinan bahagian itu sebelum mengambil keputusan menyertai Gerakan RESET yang dipelopori oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketuanya, Mohd Rofaie Hamdan membuat pengumuman itu sekali gus menandakan perubahan besar dalam landskap politik pembangkang di kawasan itu susulan mendakwa hilang keyakinan terhadap hala tuju parti.

Keputusan tersebut dicapai selepas penelitian dan perbincangan mendalam bersama kepimpinan serta akar umbi yang semakin gusar dengan perkembangan semasa parti, katanya.

“Langkah membubarkan jawatankuasa bahagian bukan didorong kepentingan peribadi atau perebutan jawatan sebaliknya bagi mempertahankan prinsip perjuangan serta memastikan suara ahli di peringkat akar umbi terus dihormati.

“Keputusan ini dibuat setelah kami meneliti secara mendalam perkembangan semasa dalam parti yang semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli dan pimpinan akar umbi.

“Ketidaktentuan hala tuju perjuangan, pertikaian kepimpinan serta kemelut dalaman yang berpanjangan telah menjejaskan keyakinan ramai ahli terhadap masa depan parti,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kira-kira 90 peratus kepimpinan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Temerloh mengambil keputusan meninggalkan parti itu untuk menyertai Gerakan RESET namun langkah berkenaan disifatkan tidak akan menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu.

Ujarnya daripada keseluruhan 20 ahli jawatankuasa bahagian, hanya tiga ahli jawatankuasa bahagian dan dua cawangan tidak menyertai keputusan berkenaan manakala selebihnya memilih untuk bersama pihaknya.

Dalam masa sama, Rofaie berkata, hubungan dan kerjasama antara Bersatu dengan parti-parti komponen dalam PN turut menjadi faktor yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan ahli.

“Perkembangan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kegusaran dalam kalangan ahli serta penyokong di peringkat akar umbi,” katanya.

Susulan itu, Rofaei bersama sebahagian besar kepimpinan dan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Temerloh mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan politik melalui Gerakan RESET yang disifatkan sebagai wadah lebih segar, inklusif dan berteraskan agenda pembaharuan.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebahagian besar pimpinan cawangan, sayap parti dan jentera akar umbi Bersatu Bahagian Temerloh telah menyatakan komitmen untuk bergerak bersama dalam Gerakan RESET.

Langkah Bersatu Temerloh itu dijangka menjadi perhatian pemerhati politik menjelang konvensyen pertama Gerakan RESET yang bakal berlangsung dalam masa terdekat, selain berpotensi memberi petunjuk terhadap hala tuju ahli-ahli Bersatu di bahagian lain di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast