Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bersama Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Putrajaya, Muhammad Imam Khairul Imran dalam Bicara Tokoh Negarawan 1.0 di Putrajaya, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Penganjuran Bicara Tokoh Negarawan 1.0 oleh Gerakan Belia 4B Kawasan Putrajaya berjaya memberikan pendedahan yang signifikan kepada golongan belia dan anak muda mengenai isu ekonomi, pengurusan kewangan negara serta pembangunan nasional.

Program yang menampilkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang bagi mendengar perkongsian pengalaman serta pandangan beliau berhubung cabaran dan hala tuju ekonomi negara.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Putrajaya, Muhammad Imam Khairul Imran berkata, program tersebut berjaya membuka ruang kepada generasi muda untuk memahami dengan lebih mendalam peranan mereka sebagai warganegara dalam menyokong agenda pembangunan negara.

“Pengalaman luas yang dimiliki Tan Sri Irwan dalam mengurus kewangan negara memberikan perspektif yang amat berharga kepada peserta, khususnya dalam memahami aspek dasar fiskal, pembangunan ekonomi dan tadbir urus negara.

“Program seperti ini penting untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik ekonomi, malah memahami hak mereka sebagai rakyat dalam menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berucap dalam Bicara Tokoh Negarawan 1.0 di Putrajaya, baru-baru ini.

Muhammad Imam berkata, pendedahan seumpama itu juga amat penting dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap isu semasa dan mampu menilai dasar-dasar kerajaan secara lebih matang serta berfakta.

“Belia perlu diberikan lebih banyak peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan tokoh-tokoh berpengalaman yang pernah memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan pembangunan negara,” katanya.

Muhammad Imam turut menyatakan harapan agar siri Bicara Tokoh Negarawan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan menampilkan lebih ramai tokoh daripada pelbagai bidang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka.

“Program seperti ini bukan sahaja menjadi wadah perkongsian ilmu, malah mampu menjadi platform yang mempertemukan tokoh berpengalaman dengan generasi pelapis demi melahirkan pemimpin muda yang berilmu, berwawasan dan berdaya saing,” katanya.

Katanya lagi, Gerakan Belia 4B Kawasan Putrajaya komited untuk terus menganjurkan program pembangunan modal insan dan kepimpinan belia yang mampu memperkasa generasi muda dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Bicara Tokoh Negarawan 1.0 merupakan antara inisiatif Gerakan Belia 4B Kawasan Putrajaya dalam memperkukuhkan kefahaman belia terhadap isu-isu nasional serta menggalakkan budaya ilmu dan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast