KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merangka pelan tindakan lebih menyeluruh dalam menguruskan isu komuniti Rohingya bagi memastikan ia tidak menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan peringkat antarabangsa.
Aktivis masyarakat yang juga Ketua Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, isu membabitkan komuniti Rohingya tidak lagi boleh dilihat daripada sudut kemanusiaan semata-mata.
Sebaliknya ia perlu ditangani dengan mengambil kira kepentingan negara, keselamatan sosial dan persepsi pelancong asing.
Menurut beliau, kebimbangan rakyat terhadap isu tersebut semakin meningkat apabila ramai melihat kehadiran individu termasuk kanak-kanak Rohingya yang meminta derma dan mengemis di kawasan tumpuan pelancong seperti sekitar KLCC, Bukit Bintang dan beberapa lokasi utama lain.
“Malaysia merupakan antara negara yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan. Apa yang dilihat pelancong apabila mereka tiba di negara ini akan membentuk persepsi mereka terhadap Malaysia.
“Apabila kawasan pelancongan utama dipenuhi individu yang meminta derma atau bantuan di tepi jalan, sudah tentu ia akan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pelawat asing mengenai keadaan sebenar negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Daniel berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyemarakkan kebencian terhadap mana-mana komuniti sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan kerjasama dengan badan antarabangsa termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan negara-negara ketiga bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian berkenaan.
“Malaysia selama ini telah memainkan peranan besar daripada sudut kemanusiaan. Namun selepas bertahun-tahun, sudah tiba masanya satu penyelesaian yang lebih mampan diwujudkan supaya isu ini tidak terus berpanjangan.
“Kita tidak mahu keadaan menjadi semakin rumit sehingga menimbulkan ketegangan sosial atau persepsi negatif terhadap negara,” ujarnya.
Tambah beliau, antara perkara perlu diberi perhatian ialah isu kanak-kanak yang berada di jalanan, akses kepada pendidikan asas serta pemantauan terhadap aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Kerajaan juga perlu memastikan kawasan pelancongan utama negara sentiasa berada dalam keadaan teratur dan selesa kerana lokasi berkenaan merupakan antara wajah pertama yang dilihat pelancong asing.
“Apabila pelancong datang ke Malaysia, mereka mahu melihat sebuah negara yang moden, tersusun dan selamat. Sebarang isu sosial yang berlarutan di kawasan pelancongan utama sudah tentu memberi kesan kepada persepsi tersebut.
“Ini bukan soal menyalahkan mana-mana pihak tetapi soal bagaimana kita menguruskan cabaran yang wujud supaya tidak menjejaskan nama baik negara,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan perlu bertindak lebih proaktif sebelum isu berkenaan menjadi lebih besar memandangkan sentimen rakyat terhadap komuniti Rohingya kini semakin ketara termasuk menerusi pelbagai perbincangan dan petisyen yang tular di media sosial.
“Yang penting sekarang ialah mencari penyelesaian. Kita perlu melindungi imej negara, menjaga kepentingan rakyat dan pada masa sama memastikan aspek kemanusiaan terus diberi perhatian secara seimbang,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan perlu ambil langkah menyeluruh isu Rohingya – Parameswaran
Tuntutan etnik Rohingya untuk penempatan tetap, sentuh isu kedaulatan negara – Nurulhidayah

















Kerajaan akan cari seribu alasan untuk pelihara pendatang ni..
Dan pembangkang pulak hanya sibuk nak kuasa,tak ada bunyi desak kerajaan antar pulang rohingya ni..
KERAJAANG BANGANG,PEMBANGKANG BANGANG,..PENGUNDI TOLOL AKAN TERUS TAKSUB DENGAN PARTI² POLITIK.
#BoikotUNDI
#pru16akutidor