JAWI – Seorang tukang rumah etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh dan menyebabkan kecederaan terhadap sepasang suami isteri etnik sama, pada Mei lalu.
Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan bunuh dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan tersebut kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di sebuah rumah di Lorong Belibis 14, Taman Belibis antara jam 2.50 petang hingga 2.54 petang pada 31 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Formin Lal Mia, 26, menggunakan sebilah pisau di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin dan tertuduh diwakili peguam, G.Sathiash.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 7 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk serahan laporan kimia serta bedah siasat.
Sementara itu, di mahkamah sama, Nurul Ainna menangguhkan prosiding terhadap isteri tertuduh, Humaira Abd Gadir, 18, dan Minara Lal Miah, 29, yang merupakan adik ipar kepada si mati, atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Penangguhan itu dibuat, selepas kedua-dua mereka memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu dan memerlukan khidmat jurubahasa.
Mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk lantikan jurubahasa Myanmar.
Difahamkan, tertuduh tidak puas hati isterinya dibawa pulang ke rumah pasangan suami isteri berkenaan atas alasan sering dipukul oleh suaminya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya maut manakala isterinya cedera akibat ditikam seorang lelaki etnik sama di sebuah rumah di Taman Belibis di sini.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami beberapa kecederaan tikaman pada badan, manakala isterinya turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya bagi rawatan lanjut.
Susulan itu polis menahan tiga individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















