SFZ Forest City di Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI- Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di sini berpotensi melepasi sasaran pelaburan RM2 bilion tahun ini susulan sambutan menggalakkan yang diterima sejak awal tahun sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris memaklumkan, sehingga kini sebanyak 260 pertanyaan pelabur diterima Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dengan 48 pertanyaan direkodkan dari awal tahun sehingga April lalu.

“Ia melibatkan sektor perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan firma pengurusan kekayaan keluarga tunggal (single family office), dengan separuh daripadanya datang daripada pelabur domestik.

“Buat masa ini, kebanyakan pelabur mengambil pendekatan jangka sederhana hingga panjang memandangkan skala serta kedudukan strategik SFZ Forest City dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan taklimat rasmi sebelum ini, IMFC-J menerima lebih 200 pertanyaan pelabur yang berminat berkaitan SFZ Forest City sejak dilancarkan.

“Walaupun tidak semua pertanyaan tersebut diterjemahkan kepada pelaburan yang disahkan setakat ini, beberapa syarikat difahamkan kini berada pada peringkat akhir rundingan dan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

SFZ Forest City sehingga kini menerima 260 pertanyaan pelabur diterima Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J)

“Nilai potensi pelaburan yang sedang dibincangkan dianggarkan mencecah bilion ringgit, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan, ekonomi digital, teknologi hijau dan perkhidmatan bernilai tinggi,” tambahnya.

Selain itu, katanya, semakin banyak syarikat dalam teknologi kewangan, pengurusan kekayaan, perkhidmatan perniagaan serantau dan teknologi bandar pintar menunjukkan minat untuk meneroka peluang di SFZ Forest City.

“Tenaga boleh diperbaharui (RE), pengurusan karbon dan pembangunan bandar mampan juga semakin mendapat perhatian, terutamanya apabila pelabur global kini memberi penekanan yang lebih besar terhadap aspek ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus),” katanya.

Beliau berkata, lokasi strategik Forest City yang berdekatan Singapura, kos operasi yang kompetitif serta peluang memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem digital dan kewangan serantau menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelabur.

Natazha berkata, pelabur kini menilai Forest City dalam konteks ekonomi yang lebih luas dan strategik, bukan lagi sekadar projek pembangunan hartanah.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Invest Johor tidak melihat Forest City sebagai pesaing Singapura, Dubai atau Hong Kong sebagai hab kewangan sebaliknya menjadi pelengkap serantau yang menawarkan nilai dan kelebihan yang berbeza.

“SFZ Forest City juga berada pada kedudukan yang ideal untuk memenuhi keperluan syarikat yang ingin mengembangkan operasi, menubuhkan pusat serantau serta merebut peluang dalam ekonomi digital yang berkembang pesat,” katanya.

Tambahnya, berbeza dengan hab kewangan yang sudah matang dan mempunyai kos operasi jauh lebih tinggi, SFZ Forest City menawarkan persekitaran perniagaan lebih menjimatkan kos tanpa menjejaskan tahap keterhubungan serantau.

Pada masa sama ujarnya, Invest Johor dan IMFC-J akan terus memperkukuh keyakinan pelabur melalui pelaksanaan dasar lebih jelas serta pakej insentif lebih tersusun dan mudah diakses di bawah inisiatif SFZ yang kini diletakkan bawah inisiatif JS-SEZ.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast