Sim Chon Siang

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengesahkan tiada unsur pencatutan harga dikesan di sebuah restoran di Gohtong Jaya selepas menjalankan siasatan susulan aduan orang awam berhubung harga hidangan Wild River Patin Buah.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, pihak KPDN telah membuat pemeriksaan menerusi Ops Kesan 5.0 di premis Loong Kee Sdn Bhd di Genting Highlands.

Menurutnya, satu Notis Bertulis (NB) telah diserahkan kepada pengusaha restoran itu pada 4 April lalu bagi mendapatkan maklumat serta dokumen berkaitan penetapan harga makanan yang menjadi pertikaian.

“Hasil siasatan dan analisis menyeluruh terhadap semua dokumen yang dikemukakan mendapati tiada unsur pencatutan berlaku seperti yang didakwa.

“Bagaimanapun, KPDN menegaskan akan terus memantau aktiviti perniagaan dan memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Chon Siang berkata demikian pada sidang media Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDN Negeri Pahang Jezlily Jamaluddin.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin (dua dari kiri).

Tambahnya, tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melakukan kesalahan.

“Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berulang.

“Manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

KPDN turut menggalakkan orang ramai terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki berlakunya pencatutan harga atau sebarang pelanggaran perundangan berkaitan perdagangan dalam negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast