Kredit: Laman Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Seramai 21,858 individu termasuk bekas pemimpin dan ahli parti menyertai atau kembali bersama UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa setakat 10 Jun lepas.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jumlah tersebut direkodkan sejak pendaftaran dalam talian dibuka secara rasmi pada 20 April sehingga Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Rabu lepas.

“Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas pimpinan dan ahli parti UMNO, termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858.

“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Rumah Bangsa merupakan inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyatukan orang Melayu serta menerima semula bekas ahli menyertai parti itu.

Antara pemimpin yang kembali menyertai UMNO melalui inisiatif tersebut ialah bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Turut kembali ialah bekas Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast