Contoh imej janaan kecerdasan buatan AI yang hanya memerlukan kata kunci atau ‘prompt’ untuk dihasilkan.

KUALA LUMPUR – Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) iaitu gabungan industri yang mewakili pemegang hak cipta muzik dan pengkarya di Malaysia menggesa penggubal undang-undang di negara ini untuk menegakkan dan memperkukuh undang-undang Hak Cipta Malaysia.

Langkah itu penting bagi memastikan pembangunan pelbagai model kecerdasan buatan (AI) tidak mengeksploitasi muzik hak cipta serta karya kreatif lain tanpa persetujuan pemegang hak cipta yang berkenaan.

Memandangkan teknologi AI yang terus berkembang pesat, pemain industri muzik Malaysia percaya perlindungan undang-undang yang lebih kukuh amat diperlukan ketika ini.

Ia bukan sahaja demi kepentingan industri, malah diperlukan untuk melindungi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit rakaman audio atau video, serta pemegang hak cipta.

Dalam usaha bersepadu menyelamatkan industri muzik, MMRA telah bertindak menghantar surat bersama kepada beberapa pucuk pimpinan tertinggi negara.

Surat berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali; Pengawal Hak Cipta (Ketua Pengarah MyIPO) serta Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO).

“Surat terbuka itu secara rasmi menggariskan kebimbangan mendesak pihak MMRA mengenai trajektori semasa tadbir urus AI serta keperluan perlindungan undang-undang yang kuat untuk karya muzik dan rakaman bunyi.

“Walaupun AI merupakan fenomena dunia yang berpotensi meningkatkan daya usaha manusia namun penggunaannya yang semakin meluas dalam pelbagai sektor industri kini membawa cabaran tersendiri.

“MMRA meluahkan kebimbangan yang semakin memuncak berhubung tindakan tidak bertanggungjawab pembangun AI yang menyalahgunakan kandungan hak cipta.

“Khususnya, eksploitasi membabitkan penggunaan muzik hak cipta serta harta intelek lain tanpa kebenaran pemilik asal untuk melatih model AI berkenaan.

“Bagaimanapun, perikatan ini menyambut baik perbahasan di Parlimen baru-baru ini mengenai isu muzik janaan AI yang dianggap sebagai satu langkah penting ke hadapan.

“MMRA memberi sokongan penuh terhadap hasrat penggubal perundangan untuk menangani isu ini, selain menawarkan kepakaran mereka untuk memberi input khusus industri muzik kepada ahli Parlimen dan Kerajaan Malaysia,” kata MMRA dalam satu kenyataan.

MMRA ialah gabungan yang terdiri daripada RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia), MPA (Music Publishers Association Malaysia), MACP (Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad), PPM (Public Performance Malaysia (PPM) Berhad), dan RPM (Recording Performers Malaysia Berhad).

Gabungan itu mewakili kepentingan kolektif pencipta lagu, penyanyi, pemuzik dan penerbit muzik di Malaysia, memastikan hak harta intelek mereka dilindungi dan diberi pampasan yang sewajarnya.

Mengulas lanjut, mengenai pendirian terhadap Tadbir Urus dan Pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM), MMRA membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang membenarkan pembangun AI melombong karya berhak cipta tanpa kebenaran atau pampasan kepada pencipta.

Ini termasuklah cadangan untuk pengecualian TDM dalam Akta Hak Cipta 1987 atau mana-mana perundangan yang berkaitan.

Bagi MMRA, persetujuan jelas pemegang hak adalah perkara paling terpenting dan mesti menjadi asas utama bagi sebarang penggunaan kandungan hak cipta oleh pembangun AI.

Mereka menegaskan bahawa tiada sebarang bahan hak cipta yang boleh digunakan untuk melatih atau membangunkan sistem AI tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pencipta dan pemilik hak cipta.

Sementara itu, ahli MMRA telah mewujudkan satu rangka kerja bersama iaitu skop dan prinsip teras berdasarkan asas bahawa hak cipta berasal daripada pengalaman, titik peluh dan kemahiran manusia, bukannya daripada kod yang dijana mesin.

Oleh itu, sebarang kandungan yang dihasilkan semata-mata oleh AI tidak seharusnya mendapat manfaat daripada perlindungan undang-undang hak cipta yang diberikan kepada pencipta manusia.

Demi memastikan hak pencipta terus ditegakkan dalam era AI ini, MMRA komited untuk bekerjasama dengan pembuat dasar bagi mewujudkan rangka kerja perundangan yang kuat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast