Calon Timbalan Presiden, Panir Selvam Chandrasegaran

KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI), Panir Selvam Chandrasegaran berhasrat mahu membawa pengalaman industri  terhadap cabaran yang dihadapi usahawan masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Ganapathy Metal Sdn Bhd itu percaya KLSICCI perlu terus berkembang sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja mewakili komuniti perniagaan India malah berupaya membuka lebih banyak peluang kepada ahlinya.

Bertanding sebagai sebahagian daripada ‘Team Raja’ yang diketuai calon Presiden, VKK Rajasekaran, Panir berkata, pengalaman mengendalikan perniagaan dalam sektor pembuatan, kitar semula logam dan perdagangan antarabangsa memberinya perspektif yang jelas mengenai realiti dunia perniagaan yang semakin mencabar.

Pada 14 Jun ini, ahli Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI) akan membuat pilihan tampuk kepimpinannya.

Dalam pada itu, Panir berkata, setiap usahawan berdepan cabaran berbeza tetapi kebanyakannya berkongsi kebimbangan yang sama seperti peningkatan kos operasi, persaingan yang semakin sengit dan keperluan untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

“Sebab itu organisasi seperti KLSICCI perlu sentiasa relevan dan memahami apa yang berlaku di lapangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Poster ‘Team Raja’ diterajui VKK Rajasekaran untuk KLSICCI penggal 2026-2028.

Panir bukan nama asing dalam KLSICCI apabila pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis bagi penggal 2022 hingga 2024 sebelum dipilih sebagai Naib Presiden untuk sesi 2024 hingga 2026.

Menurutnya, antara perkara sering dibangkitkan oleh ahli adalah keperluan mendapatkan akses lebih baik kepada peluang perniagaan, jaringan strategik dan maklumat yang boleh membantu syarikat mereka berkembang.

“Ramai usahawan mempunyai produk dan perkhidmatan yang baik. Apa yang mereka perlukan kadangkala hanyalah akses kepada peluang yang betul serta hubungan yang boleh membantu mereka berkembang.

“Peranan dewan perdagangan adalah membantu mewujudkan jambatan tersebut,” katanya.

Di luar KLSICCI, Panir turut mempunyai jaringan yang luas dalam industri kitar semula dan perdagangan komoditi antarabangsa menerusi penglibatannya dalam Bureau of International Recycling (BIR) dan Institute of Scrap Recycling Industries (ISRI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Pemilihan kepimpinan baharu KLSICCI bagi penggal 2026-2028 akan berlangsung pada 14 Jun ini dengan Panir menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden sebagai sebahagian daripada barisan Team Raja yang bertanding pada pemilihan tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast