PETALING JAYA – Petaling Jaya perlu bergerak ke arah menjadi sebuah bandar yang benar-benar mesra warga emas selaras dengan perubahan demografi penduduk yang menyaksikan golongan berusia 50 tahun ke atas kini membentuk majoriti penduduk di kawasan itu.
Ahli Majlis Petaling Jaya merangkap Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, pembangunan sesebuah bandar tidak seharusnya hanya diukur melalui bangunan baharu atau pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ia turut dinilai berdasarkan sejauh mana kebajikan warga emas diberikan perhatian.
Menurutnya, ramai dalam kalangan warga emas hari ini merupakan generasi yang telah membina keluarga, menyumbang kepada ekonomi negara dan membantu membangunkan komuniti setempat.
Namun, tambahnya, agak menyedihkan sebahagian daripada mereka kini berdepan cabaran kesihatan, mobiliti serta kesunyian apabila meningkat usia.
“Mereka telah menghabiskan sebahagian besar kehidupan bekerja keras dan menyumbang kepada masyarakat.
“Apabila usia meningkat, mereka berhak menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan bermaruah.
“Sebab itu saya percaya Petaling Jaya perlu menjadi sebuah bandar yang benar-benar mesra warga emas dan memastikan tiada siapa yang berasa dipinggirkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Bryan yang juga Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan PKR Selangor berkata, melalui pusat khidmatnya, pelbagai bantuan telah disalurkan kepada golongan berkenaan termasuk pemberian lebih 30 kerusi roda secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
Selain itu, katanya, bantuan turut diberikan kepada warga emas yang tinggal bersendirian menerusi pemasangan tag siren kecemasan bagi memudahkan bantuan diperoleh sekiranya berlaku kecemasan.
Beliau berkata, pihaknya juga kerap membantu warga emas menguruskan pelbagai permohonan termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat dan tuntutan kebajikan lain yang sering menjadi cabaran kepada golongan tersebut.
Menurut Bryan, kebanyakan warga emas tidak memerlukan layanan istimewa, sebaliknya hanya memerlukan sedikit bantuan untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima hak dan bantuan yang disediakan.
“Kadang-kadang perkara yang nampak kecil seperti membantu mengisi borang atau menghubungi agensi berkaitan boleh memberi impak besar kepada kehidupan mereka.
“Kita tidak boleh membiarkan warga emas berasa keseorangan selepas mereka menghabiskan puluhan tahun membina masyarakat yang kita nikmati hari ini,” katanya beremosi.
Beliau berkata, usaha memperkukuh jaringan sokongan kepada warga emas dan golongan OKU akan terus dipertingkatkan menerusi pelbagai program komuniti yang lebih tersusun pada masa akan datang.
Katanya, sebuah bandar yang penyayang bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, tetapi memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk warga emas terus dihargai, dilindungi dan diberi perhatian sewajarnya. – MalaysiaGazette















