KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menasihatkan pelajar-pelajar miskin atau anak yatim agar jangan sesekali menolak tawaran untuk memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima banyak mesej di media sosial bahawa mereka berkira-kira untuk menolak tawaran yang diberikan kerana tidak berkemampuan.
Ujarnya, beliau sudah menghubungi beberapa naib canselor universiti berhubung perkara itu dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut mengarahkan agar pelajar-pelajar berkenaan dibantu.
“Jika yang dapat tawaran mana-mana Institusi Pendidikan MARA sama ada Kolej Mara, Kolej Profesional Mara, TVETMara, Kolej Poly-Tech Mara, UPTM atau UniKL, daftar sahaja dulu.
“Berjumpa dengan pegawai-pegawai pendaftar, InsyaAllah, saya sendiri sudah arahkan semua agar bantu pelajar-pelajar susah, miskin atau yatim yang perlukan bantuan.
“Saya selalu ingatkan hanya ilmu sahaja boleh merubah kehidupan. MARA akan bantu InsyaAllah,” ujarnya dalam hantaran dalam laman Facebook hari ini.
Asyraf dalam satu hantaran tahun lalu turut menggesa ibu bapa untuk tidak menolak tawaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diterima anak masing-masing hanya disebabkan kekangan kewangan.
Menurut beliau, pihaknya bersedia membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan termasuk Bantuan Khas BUDI MARA. – MalaysiaGazette
















