Operasi melibatkan sembilan anggota dari BBP Gebeng dengan bantuan sebuah jentera LFRT, sebuah Bas Hazmat dan sebuah Water Tanker dari BBP Kuantan terlibat dalam kerja-kerja operasi

KUANTAN – Kira-kira 1,000 liter cecair asid hidroklorik tumpah ke kawasan paya bakau selepas sebuah lori tangki yang membawa bahan kimia itu terbalik di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Jambatan Cherating, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.32 pagi.

Susulan kejadian itu, kata beliau, pihaknya segera melaksanakan tindakan kawalan dengan membina halangan air (water curtain) bagi mengurangkan risiko penyebaran wap asid serta menghalang tumpahan daripada merebak ke laluan utama jalan raya.

Menurutnya, lori isotank yang membawa kira-kira 24 tan asid hidroklorik dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Kemaman, Terengganu itu dipercayai terbabas sebelum terbalik di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati berlaku kebocoran pada bahagian penutup atas tangki muatan menyebabkan kira-kira 1,000 liter cecair asid tertumpah dan mengalir ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Pemandu lori mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi segera melakukan penilaian risiko memandangkan bahan yang dibawa adalah bahan kimia berbahaya yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar sekiranya tidak dikawal dengan segera.

Menurutnya, pihak JBPM turut menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarikat pemilik muatan bagi menjalankan tindakan mitigasi termasuk kerja-kerja pemindahan bahan kimia daripada tangki yang terbalik.

“Setakat pukul 1 tengah hari, operasi masih berjalan dengan kerja-kerja pemindahan asid daripada tangki yang terbalik ke sebuah lori tangki gantian.

“Operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) serta bantuan jentera tangki air dari BBP Kuantan,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi memastikan kebocoran dapat dikawal sepenuhnya selain mengurangkan impak pencemaran terhadap ekosistem paya bakau dan kawasan sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast