Ribuan hadir pelancaran jentera Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat.

SEREMBAN – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan mandat rakyat perlu dipertahankan melalui rekod kerja dan pencapaian, bukannya dijadikan bahan percaturan politik yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan bahawa kestabilan politik mampu diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan hasil negeri serta keyakinan pelabur.

Menurutnya, kejayaan Negeri Sembilan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini menjadi bukti bahawa kerajaan yang dipimpin secara amanah, berintegriti dan berpaksikan rakyat mampu membawa manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, hasil negeri terus meningkat sehingga mencecah RM700 juta pada tahun 2025.

“Rizab kerajaan negeri yang berjumlah RM725 juta pada tahun 2017 pula berjaya diperkukuhkan kepada RM1.04 bilion, manakala keyakinan pelabur terhadap pentadbiran negeri terserlah apabila Negeri Sembilan merekodkan pelaburan bernilai RM19 bilion pada tahun lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad

Beliau berkata demikian ketika mengulas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan yang berlangsung di Arena Seremban, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin berkata, pencapaian tersebut membuktikan kepimpinan yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat mampu menghasilkan kemajuan yang boleh diukur serta dirasai oleh masyarakat.

“Apabila negeri dipimpin dengan amanah, berintegriti dan berpaksikan rakyat, manfaatnya akan kembali kepada rakyat.

“Sebagai jiran kepada Negeri Sembilan, kami di Selangor turut berbangga melihat kejayaan yang dicapai negeri ini hasil pentadbiran yang stabil dan berwibawa,” ujarnya,

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa apabila masih terdapat segelintir pemimpin UMNO yang didakwa lebih mengutamakan percaturan politik berbanding kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

Katanya, ketika kerajaan negeri berusaha menarik pelaburan serta mengukuhkan ekonomi, terdapat pihak yang memilih untuk mencetuskan ketidakstabilan politik demi kepentingan sendiri.

“Negeri Sembilan tidak wajar dijadikan mangsa kepada kerakusan politik dan perebutan kuasa.

“Rakyat perlu menghantar mesej yang jelas dalam pilihan raya kali ini bahawa mereka menolak politik yang memecah-belahkan dan memilih kestabilan yang membawa kemajuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan jentera Penerangan Keadilan Selangor akan turut membantu kempen pilihan raya negeri berkenaan bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan kepada pengundi.

“Gendang perang telah dipalu dan jentera telah digerakkan. Kami akan turun membantu sedaya upaya bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

“Kini tiba masanya rakyat bangkit mempertahankan kepimpinan yang telah terbukti bekerja dan memberikan hasil,” jelas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast