KUANTAN – Kemajuan teknologi kesihatan termasuk kecerdasan buatan (AI), diagnostik persis dan rawatan berasaskan inovasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan setanding dengan standard antarabangsa.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, perkembangan pesat dunia perubatan hari ini menuntut pengamal kesihatan untuk sentiasa memperbaharui ilmu serta meningkatkan kecekapan klinikal sejajar dengan keperluan semasa.
Menurutnya, persidangan Annual Scientific Meeting & East Coast Medical Update 2026 (ASM & ECMU 2026) yang berlangsung di Kuantan menjadi platform penting dalam menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik dan pengamal kesihatan bagi membincangkan inovasi terkini dalam bidang berkenaan.
“Kita bukan lagi berada pada era rawatan yang hanya bergantung kepada kaedah konvensional.
“Kemunculan teknologi baharu termasuk AI dan pendekatan diagnostik yang lebih tepat memerlukan doktor serta petugas kesihatan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Apabila tenaga perubatan kita dilengkapi dengan pengetahuan klinikal yang terkini, sudah tentu kualiti rawatan kepada pesakit dapat dipertingkatkan sekali gus meletakkan hospital-hospital di Pantai Timur pada tahap yang lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Annual Scientific Meeting & East Coast Medical Update 2026 di sini hari ini.
Ujar Ir. Razali, kerajaan negeri sentiasa meletakkan aspek kesihatan sebagai antara agenda utama pembangunan kerana kesejahteraan rakyat bergantung kepada akses terhadap perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan prasarana kesihatan serta penganjuran program ilmiah yang mampu meningkatkan kompetensi warga perubatan.
“Ia selaras dengan aspirasi Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan, aspek kesihatan tidak pernah diketepikan.
“Usaha memperkukuh sistem kesihatan perlu dilaksanakan secara berterusan termasuk memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan rawatan terbaik,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru para peserta memanfaatkan sepenuhnya persidangan tersebut melalui sesi perkongsian ilmu, perbincangan profesional dan pertukaran pengalaman bersama pakar-pakar yang terlibat.
Tambahya, pengisian seperti Battle of the Brains Championship membuktikan persidangan itu bukan sekadar medan akademik, malah menjadi platform mengasah pemikiran kritikal serta kemahiran membuat keputusan dalam situasi kecemasan perubatan.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan ratusan pengamal perubatan dari seluruh negara dengan pelbagai sesi pembentangan, bengkel dan simposium berkaitan isu kesihatan semasa termasuk obesiti, populasi menua serta aplikasi teknologi dalam amalan klinikal moden.
Seramai 300 peserta daripada kalangan pegawai perubatan dan paramedik menyertai persidangan membabitkan 17 penceramah berkaitan industri kesihatan terlibat pada kongres berkenaan.
Objektifnya bagi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran doktor serta paramedik melalui perkongsian ilmu dan perkembangan terkini dalam bidang perubatan, sejajar dengan tuntutan serta cabaran era perubatan moden. – MalaysiaGazette















