Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 14 pendatang tanpa izin termasuk dua wanita warga Myanmar berusia antara 16 hingga 36 tahun di tebing Sungai Kutan Hilir, Pasir Pekan, Tumpat pada Rabu lepas.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kampung Kedai Buloh pada 9.58 malam hasil risikan menerusi Ops Naga, Ops Damai, Ops Pelantar Merah dan Ops Tiris di sekitar perairan Sungai Kelantan.

“Bot berkenaan berjaya meloloskan diri dengan memecut melalui laluan sungai yang sempit dan cetek. Keadaan gelap di kawasan itu turut menyukarkan bot ronda Maritim untuk meneruskan pengejaran.

“Bagaimanapun, Pasukan Operasi Darat Maritim segera digerakkan ke tebing Sungai Kutan Hilir bagi memintas pergerakan kumpulan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Kamal berkata operasi susulan membawa kepada penemuan sembilan individu dipercayai pendatang tanpa izin yang berhimpit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna berwarna putih, manakala lima lagi ditemukan bersembunyi di kawasan semak berhampiran tebing sungai.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu turut menemukan sebuah beg hitam mengandungi kad pengenalan milik seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dipercayai tekong darat.

“Siasatan mendapati lima daripada warga asing terbabit memiliki pasport, namun gagal mengemukakan rekod perjalanan sah untuk memasuki negara ini, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast