Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di Dewan Damar Sari, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JUN 2026.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud sedikit unsur ‘khianat’ dalam episod politik di Negeri Sembilan yang menurutnya menjejaskan kerjasama dan kestabilan yang telah dipersetujui.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu merujuk kepada usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri ketika keadaan politik dan ekonomi berada dalam keadaan stabil.

Menurut beliau, kenyataannya mengenai pengkhianatan bukan ditujukan secara umum, sebaliknya dalam konteks menjayakan kerjasama yang dibina demi kepentingan negara.

“Tak tak, saya bagi kenyataan bahawa dalam menjayakan kerjasama dalam negara ini, jangan ada unsur-unsur pengkhianatan. Kalau tak khianat, baguslah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koprojaya kali ke 10 di Dewan Damar Sari, Kompleks F, hari ini.

Anwar berkata, pengalaman di Negeri Sembilan menunjukkan masih terdapat pihak yang cuba menggugat kestabilan walaupun kerajaan ketika itu berada dalam keadaan kukuh.

“Dalam kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha dalam keadaan stabil politiknya, ekonominya, tapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan. Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan,” katanya.

Kenyataan beliau itu hadir sehari selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tidak sepatutnya timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran berakhir, sebaliknya perubahan kerajaan perlu berlaku menerusi proses demokrasi.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan diadakan lebih awal dari tempoh sebenar Anwar berkata, perkara itu terserah kepada kerajaan negeri untuk menentukannya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan kerajaan Persekutuan ketika ini adalah menjana pertumbuhan ekonomi dan menangani masalah rakyat, selain mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu disibukkan dengan agenda pilihan raya ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Ini masalah rakyat itu, kalau dalam tiga empat bulan ni kita sibuk soal pilihan raya, padahal kalau kita dapat dalam dua tiga bulan dalam keadaan krisis ekonomi, tumpu, itu saya maksudkan.

“Kalau tidak, tak ada khianat, tak apalah,” katanya sambil menambah kerjasama dan muafakat perlu terus diperkukuh demi menjamin kestabilan negara. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast