KULAI – Parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai ideologi berbeza tidak menghalang untuk terus mengekalkan kerjasama politik malah terus bersama-sama berdepan pilihan raya.
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata, kerjasama tersebut kukuh dan berpanjangan kerana dibina atas dasar keikhlasan, saling menghormat serta memahami perbezaan ideologi masing-masing.
“Walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara Amanah (Amanah) mempunyai latar belakang serta ideologi yang berbeza, semua parti dalam gabungan itu berkongsi matlamat yang sama iaitu membina negara yang lebih baik untuk rakyat.
“Ramai yang bertanya mengapa PKR, DAP dan Amanah mampu bekerjasama dalam tempoh yang panjang sedangkan ada gabungan politik lain yang sering berpecah dan bertukar pendirian.
“Jawapannya mudah, iaitu keikhlasan. Kerjasama dalam Pakatan Harapan dibina atas dasar saling menghormati dan memahami perbezaan antara parti-parti komponen,” katanya.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Taman Putri di sini malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi mengucapkan tahniah kepada penyandang kerusi DUN Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern yang diumumkan sekali lagi sebagai calon PKR bagi kerusi berkenaan pada PRN Johor.
Menurutnya, seluruh jentera DAP dan PH akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan Arthur berjaya mempertahankan kerusi tersebut.
Sementara itu, beliau turut menekankan keikhlasan dan integriti merupakan ciri penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Beliau mengakui kerajaan hari ini masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki, namun menegaskan PH tidak pernah berputus asa untuk menambah baik dasar serta pentadbiran demi kepentingan rakyat.
“Kerajaan hari ini tidak sempurna. Masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan dasar yang perlu diperkemaskan. Namun yang penting, kita tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki keadaan.
“Kita terus bekerja keras untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan pembangunan negara dapat diteruskan,” katanya.- MalaysiaGazette
Teo Nie Ching ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Batu di Taman Putri, Kulai malam tadi.
















