AMERIKA SYARIKAT – Pemain sayap Manchester United Amad Diallo mencipta rekod baharu apabila menjadi penjaring termuda Ivory Coast dalam sejarah Piala Dunia pada usia 23 tahun 11 bulan.
Lebih manis, pemain Manchester United itu memulakan perlawanan dari bangku simpanan sebelum dimasukkan pada separuh masa kedua dan terus memberikan impak besar buat pasukannya menewaskan Ecuador 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026 pagi tadi.
Gol yang dijaringkan Amad bukan sahaja mengukir namanya dalam buku rekod, malah ia merupakan gol kemenangan Ivory Coast dan satu-satunya jaringan yang terhasil dalam perlawanan tersebut sekali gus memastikan kemenangan berharga buat negaranya.
Gol itu juga memberikan kemenangan pertama Ivory Coast ke atas pasukan Amerika Selatan dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, selain menandakan permulaan cemerlang buat penampilan sulung mereka di pentas dunia sejak edisi 2014.
Amad sekali lagi membuktikan bahawa dia mampu menjadi pembeza untuk perlawanan tersebut walaupun bermula sebagai pemain gantian dimana dengan sentuhan pentingnya membantu Ivory Coast meraih kemenangan tipis di pentas terbesar bola sepak dunia.
Kemenangan itu turut menyaksikan Ivory Coast mengumpul tiga mata untuk menyamai kutipan Jerman yang sebelum ini membelasah Curacao 7-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan E.
Kemenangan itu memberi suntikan moral penting buat skuad muda Ivory Coast menjelang pertemuan sukar menentang Jerman dalam aksi kedua kumpulan, 21 Jun ini. – Agensi
















