Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei  memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali untuk memohon maaf secara terbuka dan meletakkan jawatan berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak dilakukan dalam tempoh ditetapkan, laporan polis akan dibuatnya.

Albert mempersoalkan tindakan seorang penjawat awam yang memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan bertaraf JUSA A mengeluarkan kenyataan yang didakwanya mengandungi ungkapan ‘Cina sesat’.

“Perkara perkara ini merupakan sesuatu yang serius dan membangkitkan persoalan mengenai sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dalam masa sama, Albert turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Beliau turut mendakwa, kegagalan menangani isu berkenaan boleh memberi kesan terhadap imej Kerajaan Madani.

Albert menerusi satu kenyataan berkata, beliau akan mengambil tindakan lanjut dengan membuat laporan kepada pihak polis sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, Hisyamuddin atau lebih dikenali dengan nama Sham Ghaz dalam satu rakaman yang dimuat naik media sosial malam tadi menjelaskan, komen ‘Cina sesat’ yang dibuatnya hanya ditujukan kepada dua individu dan sengaja disalah tafsir.

Hisyamuddin  berkata, hantaran Facebooknya pada Sabtu lalu hanya bertujuan menjawab kenyataan bekas pengarah komunikasi strategik BN Eric See-To dan Albert.

Terdahulu, hantaran Hisyamuddin yang disunting dua kali bagi membuang perkataan “Cina” dan “balaci” mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Walaupun istilah itu telah dibuang namun perubahan berkenaan masih dapat dilihat dalam sejarah suntingan hantaran itu.

Hisyamuddin turut memaklumkan, beliau kesal dengan usaha pihak tertentu menggambarkan hantaran itu sebagai serangan terhadap keseluruhan masyarakat Cina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast