BATU CAVES – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor menahan lebih 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar kawasan di sini, malam tadi.
Operasi yang bermula kira-kira jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 11 malam itu melibatkan pemeriksaan di tiga lokasi tumpuan.
Ia dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Lokasi pertama operasi tertumpu di kawasan pasar malam Jalan Sri Selayang, Taman Sri Selayang di sini.
Hasil pemeriksaan mendapati lebih 30 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.

Serbuan seterusnya dilakukan di sebuah premis makanan, SV Villas Pure Vegetarian yang terletak di Jalan 8A, Selayang Baru, Batu Caves.
Dalam pemeriksaan di restoran tersebut, lima warga asing didapati bekerja tanpa kebenaran yang sah selain dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan.

Di lokasi ketiga pula, operasi dijalankan di Kampung Laksamana melibatkan sebuah perumahan flat persendirian dua tingkat yang dipercayai dijadikan tempat kediaman warga asing.
Pemeriksaan mendapati kira-kira 10 warga asing berada di premis berkenaan, termasuk sepasang suami isteri bersama dua anak kecil mereka.

Kesemua individu yang diperiksa didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit yang sah untuk tinggal atau bekerja di negara ini.
Mereka dipercayai menyewa unit kediaman tersebut tanpa memiliki dokumen imigresen yang lengkap.
Semua warga asing yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan imigresen yang sedang berkuat kuasa.

Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM Selangor dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin, penyalahgunaan pas serta aktiviti pekerjaan secara haram di negeri ini.
JIM turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















