Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim bersama antara 57 mangsa Skim Pelaburan Tahyul di pejabatnya pada sidang media di Megan Avenue 1, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan penipuan urusan jual beli tanah yang menyebabkan lima individu mengalami kerugian keseluruhan melebihi RM100,000.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa mendakwa diperdaya oleh seorang individu yang menawarkan beberapa bidang tanah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada harga murah menerusi skim bayaran secara ansuran.

Beliau berkata, kes berkenaan dipercayai bermula sekitar 2016 dan mangsa hanya membuat laporan polis pada 2018 selepas menyelesaikan tempoh pembayaran ansuran selama dua tahun.

Menurutnya, mangsa mula menyedari berlaku penipuan selepas meminta individu berkenaan membawa mereka melihat tanah yang dibeli bagi tujuan urusan pertukaran hak milik.

“Bagaimanapun, pelbagai alasan diberikan dan mangsa kemudiannya mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke lokasi tanah tersebut.

“Hasil semakan yang dibuat, mangsa dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa tanah berkenaan sebenarnya sudah dimiliki pihak lain dan lot yang dijanjikan kepada mereka tidak wujud,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sidang media di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, salah seorang mangsa mendakwa telah diperkenalkan kepada individu terbabit oleh seorang kenalan pada 2015 sebelum ditawarkan lot tanah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang dengan keluasan antara 2,000 hingga 3,000 kaki persegi.

Katanya, mangsa turut mendakwa membuat bayaran secara ansuran dan menyelesaikan pembayaran lebih awal daripada tempoh yang dijanjikan.

“Mangsa terkilan dan kecewa kerana tiada tindakan yang sewajarnya diambil walaupun laporan polis telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.

“Malah, peguam yang dilantik mangsa turut mengemukakan surat di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak polis, namun tiada maklum balas diterima berhubung aduan berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hishamuddin menggesa PDRM menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang didakwa terlibat bagi memastikan mangsa memperoleh keadilan.

Beliau turut mendakwa tanah yang ditawarkan itu dikongsi oleh beberapa nama pemilik lain dan bukannya dimiliki sepenuhnya oleh individu yang menawarkan urusan jual beli berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast