Anwar ketika berucap dalam ceramah umum di kawasan parking Restoran Yin Nan, Bukit Bakri, Muar, malam ini.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu memilih kepimpinan di Johor yang bijak, berani, berprinsip dan tidak sombong dalam Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Beliau berkata, ciri kepemimpinan seperti itu akan membolehkan keputusan yang berani dibuat selain ‘menyedari’ bahawa Johor adalah sebahagian daripada Malaysia.

Anwar berkata, amat penting untuk kepimpinan peringkat negeri selari dengan di Persekutuan selain mempunyai pemimpin yang berpendirian.

“Kita mahu ketua di negeri, macam PM juga firm. Kawan dengan (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump dan kawan dengan (Presiden China) Xi Jinping.

“Kalau Eropah, Europe tak betul, Norway, kita cakap (tak betul). Baru orang hormat kita, kita bebas merdeka, we are friends to all tapi kita jaga kita punya prinsip. Dia buat tak betul itu (di) Gaza, kita cakap tak betul. Bukan cakap-cakap depan orang,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam ceramah umum di kawasan parking Restoran Yin Nan, Bukit Bakri di sini malam ini.

Anwar berkata, sepatutnya dalam pilihan raya, semua pihak tidak sewajarnya berfikir tentang kaum masing-masing sahaja sebaliknya perlu bersatu hati.

“Jadi tak bolehkah kita dalam election ini, fikir ini Cina macam ini, Melayu macam ini, Orang Asli macam ini, India?  Semua ada masalah, kita kena tolong semua, tak bolehkah? Saya kadang-kadang tak faham,” ujarnya.

Menurutnya, semasa mahu meraih undi akan ada pihak menabur janji sana sini tetapi bila ada kuasa mereka menjadi sombong.

Contohnya, tidak suka dengan DAP namun sebagai seorang pemimpin, beliau berkata, dirinya tiada masalah dengan parti tersebut dan menghormatinya.

“Oh DAP tak boleh? Mana boleh ini? Dia cakap sombong tak boleh. Ah biar orang Cina putus. Begitu juga Melayu. Melayu kata kita mahu keadilan, yalah. Takkan semua itu parti saja,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Jelas Perdana Menteri, beliau bukan datang ke negeri ini untuk melawan sesiapa.

“Apa beza saya? Saya bukan datang untuk lawan orang Johor, tak ada. Saya Perdana Menteri jaga, kena jaga semua. Projek Johor, kita kasi besar. Tapi apa saya mahu pesan?

“Saya tahu datang ke Johor, (bantu) projek besar, jalan baru punya dan pelabuhan besar punya dan ya bangunan-bangunan tinggi punya, buat (kerjasama) dengan Singapura lagi hebat.

“Tapi saya kata, ini rumah rakyat macam mana? Ini rumah polis, orang kerja, orang miskin bagaimana? Ini nelayan miskin macam mana, bagaimana? Itu kerja kita.

“Negeri ini kaya bukan untuk satu kelompok, jaga semua. Ini Cina ramai-ramai bukan semua senang, banyak problem. Jadi kalau mahu jadi pemerintah (kena jaga semua),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast