Konflik Sudan -Gambar hiasan (Foto Khaled DESOUKI / AFP)

GENEVA – Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengecam “peningkatan mendadak” serangan dron dalam konflik Sudan yang menyebabkan lebih 1,000 orang awam terbunuh sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Peperangan menggunakan dron semakin menjadi ciri utama konflik di Sudan sejak ia tercetus pada April 2023 antara tentera kerajaan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

“Di Sudan, konflik yang mengerikan itu telah meluas dan semakin memuncak, ditandai dengan peningkatan mendadak penggunaan peperangan dron,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk.

“Antara Januari hingga Mei 2026, pejabat kami telah mendokumentasikan lebih 1,000 orang awam terbunuh akibat serangan dron,” katanya dalam ucapan pembukaan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa “rogol dan keganasan seksual berleluasa”.

Konflik yang lebih luas di Sudan telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memaksa lebih 11 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, sekali gus mewujudkan apa yang disifatkan oleh PBB sebagai krisis pemindahan penduduk dan kebuluran terbesar di dunia. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast