Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keluarga miskin, individu yang kehilangan pekerjaan, golongan rentan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ibu tunggal dikenal pasti sebagai kumpulan utama yang akan menerima bantuan Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan selama enam bulan dengan penerima layak menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM600.

Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan, permohonan Program Baucar Kita Selangor masih belum dibuka kepada orang ramai kerana pelaksanaannya dibuat secara bersasar berdasarkan data dan senarai penerima yang telah dikenal pasti oleh agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, antara kumpulan yang terlibat ialah isi rumah miskin yang tersenarai dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan berdaftar dengan JKM serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Katanya, penerima yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) secara berperingkat bermula 23 Jun ini bagi membolehkan mereka mengesahkan maklumat serta mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar Kita Selangor bersama dokumen sokongan yang diperlukan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menunggu pengumuman rasmi kerajaan negeri yang akan dibuat pada 22 Jun ini sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan program ini,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan negeri mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang SMS atau mesej yang mengandungi pautan mencurigakan.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber yang tidak sah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai Program Baucar Kita Selangor akan diumumkan melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Selangor dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan, seramai 50,000 keluarga kurang berkemampuan di negeri itu bakal menerima bantuan bulanan RM100 selama enam bulan bermula 30 Jun ini menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 yang diumumkan pada 19 April lalu.

Beliau berkata, bantuan Baucar Kita Selangor diperkenalkan bagi membantu menampan kesan peningkatan kos sara hidup dan inflasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurutnya, pemilihan penerima dibuat menerusi semakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta beberapa pangkalan data sedia ada termasuk Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), eKasih dan pangkalan data berkaitan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast