KUALA LUMPUR – Satu inisiatif istimewa bakal menghimpunkan masyarakat dalam satu malam yang sarat dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu yang akan berlangsung pada 24 Ogos ini di Idealive Kuala Lumpur.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul, penganjurannya bukan sekadar sebuah persembahan muzik Islamik tetapi satu amanah besar yang dipikul oleh penganjur dan para penggiat seni untuk mengajak masyarakat kembali mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW di mana insan yang membawa cahaya Islam kepada seluruh umat manusia.
Menurut wakil penganjur, penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, yang dirasakan perlu diterjemahkan melalui platform yang dekat dengan masyarakat masa kini.
“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami,” kata satu kenyataan.
Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu akan menampilkan persembahan daripada Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan, disusun dengan penceritaan yang menyentuh jiwa melalui Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry serta penutupan penuh makna menerusi alunan Selawat Nabi yang menyatukan seluruh hadirin dalam semangat ukhuwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu dapat membuka lembaran baharu dalam penganjuran hiburan Islamik di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa program berteraskan dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia, termasuk generasi muda.
Sebagai penganjuran sulung, Konsert Malam Qolbu diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang mendidik, menyentuh hati dan menguatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, demi memelihara iman serta menggalakkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.
Konsert turut mendapat sokongan daripada ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi. Urusan penjualan tiket dikendalikan oleh Ticketmelon dan Fantopia, dengan harga tiket bermula dari RM250 hingga RM350.
Harga tiket khas pelajar turut disediakan dan boleh didapati menerusi laman web Ticketmelon dan Fantopia.
Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project, dengan kerjasama strategik daripada Laskar Entertainment.
Duyufurrahman juga diperkuatkan dengan barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang Haji dan Umrah termasuk juara Mualim Muda musim pertama, Mualim Muda Anas serta finalis program tersebut, Mualim Muda Ashraf yang membawa pendekatan lebih dekat dan berjiwa pendakwah dalam setiap inisiatif syarikat.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari: https://www.ticketmelon.com/ dan https://www.fantopia.io/. – MalaysiaGazette
















