PASIR GUDANG – Data kendalian kontena data pengendalian kargo (throughput) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di sini akan disatukan bawah satu nama iaitu Pelabuhan Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkembangan itu dijangka bakal sejarah sektor maritim negara apabila diramal menembusi kelompok 10 pelabuhan tersibuk di dunia pada tahun depan.
“Keyakinan ini bersandarkan kelulusan rasmi daripada penerbitan penarafan maritim terkemuka antarabangsa, The Lloyd’s List yang berpangkalan di London, United Kingdom.
“The Lloyd’s List menerusi surat rasmi bertarikh 29 Mei lalu telah mengesahkan permohonan Malaysia untuk menyatukan data throughput bagi kedua-dua pelabuhan tersebut sebagai satu entiti pelaporan tunggal,” katanya ketika berucap dalam Program Dampingi Rakyat di Johor Port di sini hari ini.
Menurut laporan The Lloyd’s List, Pelabuhan Klang berada di kedudukan 10 pelabuhan tersibuk di dunia pada 2025 manakala PTP berada di posisi ke-15.
Anthony berkata, langkah pentadbiran itu bagi memastikan laporan data pasaran global mencerminkan kapasiti sebenar serta prestasi operasi yang lebih tepat bagi kluster pelabuhan di selatan tanah air.
“Sebelum ini, kedudukan kita agak terasing (secara pelaporan). Namun, apabila kedua-dua pelabuhan yang ditadbir di bawah Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) ini disatukan, jumlah throughput akan menjadi jauh lebih besar,” katanya.
Beliau menjelaskan, model penggabungan data berkenaan adalah berpandukan formula kejayaan Pelabuhan Klang yang kini selesa berada dalam kedudukan 10 teratas dunia.
Jelasnya, ukuran bagi Pelabuhan Klang selama ini sebenarnya mengambil kira gabungan dua terminal berasingan iaitu Westports dan Northport di bawah satu lembaga pelabuhan.
“Jika kita bergantung kepada satu terminal sahaja di Pelabuhan Klang, angka throughput mereka sebenarnya lebih rendah berbanding PTP. Oleh itu, strategi serupa kita laksanakan di Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan nama gabungan terbaharu itu akan didaftarkan sebagai Pelabuhan Johor dalam carta The Lloyd’s List bermula tahun ini, biarpun jumlah pengendalian kargo di PTP secara individunya adalah lebih besar.
Jelasnya, pemilihan nama tersebut dipersetujui kerana jenama ‘Johor’ memiliki skop identiti yang lebih luas dan mewakili seluruh negeri berbanding Tanjung Pelepas yang merujuk kepada lokaliti spesifik.
Beliau berharap sasaran meletakkan dua pelabuhan Malaysia, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Johor dalam kelompok elit maritim dunia itu akan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
“Kejayaan ini bukan sahaja meletakkan nama Malaysia dengan lebih gah dalam peta maritim antarabangsa, malah akan membuka peluang ekonomi dan menawarkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada rakyat tempatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















