Dadah yang dirampas daripada satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sentul. Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sentul selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.72 juta dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Segambut pada 11 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 10.50 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu membawa kepada penahanan suspek serta rampasan dadah yang dianggarkan mampu menampung penggunaan seramai 349,872 penagih.

Menurut beliau, suspek ditahan di sebuah unit kediaman di United Point Residence, Segambut sebelum membawa polis ke sebuah bilik di rumah berkenaan yang menyimpan dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 33.85 gram.

“Hasil soal siasat lanjut, suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah lagi unit kediaman di lokasi sama. Pemeriksaan di premis kedua menemukan pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, serbuk MDMA, pil ekstasi, pil yaba, pil Erimin 5 serta cecair disyaki MDMA yang disimpan di beberapa bilik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara rampasan terbesar adalah serbuk MDMA seberat 11,674.4 gram, ketamin seberat 1,158.9 gram, pil ekstasi seberat 186.63 gram, pil Erimin 5 seberat 69.2 gram dan pil yaba seberat 7.27 gram.

Selain itu, polis turut menemui sejumlah cecair disyaki MDMA yang disimpan dalam botol, bekas plastik dan katrij vape di premis berkenaan.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala semakan rekod jenayah menunjukkan lelaki itu mempunyai 13 rekod kesalahan lampau.

Suspek yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Segambut pada 11 Jun lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan dan berstatus penganggur itu terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu,” katanya.

Basri berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 Jun hingga 18 Jun bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian sindiket, ahli-ahli lain yang terlibat serta sumber bekalan dadah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast