JOHOR BAHRU – Angkatan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn hafiz Ghazi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan kerana kehendak rakyat.
Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata, dakwaan itu dilihat tidak berasas kerana tiada bukti menunjukkan rakyat mahukan PRN malah politik Johor dalam keadaan stabil.
“Apakah ada sebarang referendum, pungutan suara atau kajian rasmi yang menunjukkan majoriti Bangsa Johor mendesak supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal?
“Rakyat mana yang meminta PRN Johor diadakan ketika kerajaan negeri masih berfungsi dengan baik dan mempunyai majoriti yang amat kukuh,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz dalam satu kenyataan malam tadi mendakwa, BN tanding semua 56 kerusi DUN adalah atas kehendak rakyat dan bukan sombong.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, melihat kedudukan sedia ada, BN mampu meluluskan usul, dasar dan pindaan yang diperlukan tanpa sebarang gangguan.
Misalnya kata beliau, ketika cadangan mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dibawa ke DUN Johor, kerajaan BN berjaya meluluskan usul tersebut dengan selesa.
“Seandainya BN masih menggunakan data PRN Johor 2022, mereka cuma memperoleh 43.11 peratus undi popular ketika itu, data ini menunjukkan majoriti rakyat tolak dan tidak mengundi BN. Melainkan ‘rakyat BN’lah yang minta adakan PRN segera,” katanya.
Berdasarkan keadaan dan situasi semasa, beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai berkata, apa sebenarnya yang majoriti rakyat mahukan ketika ini?
“Pada saat dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global kesan daripada konflik geopolitik, tumpuan kerajaan negeri seharusnya diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat.
“Sepatutnya dengan kedudukan BN yang kuat dalam kerajaan negeri digunakan sebaik mungkin untuk pulihkan dan kukuhkan ekonomi. Bubarkan DUN bukanlah satu keutamaan sekarang ini,” katanya.
Dakwanya, mengheret rakyat ke satu lagi medan percaturan kuasa ketika kerajaan negeri masih stabil, kukuh dan punyai baki tempoh setahun Adalah sesuatu yang sukar diterima oleh rakyat.
“Rakyat hari ni cerdik, mereka sebenarnya tahu, apa yang berlaku sekarang hanyalah satu keputusan politik yang dibuat oleh BN. Itu saja,” katanya.- MalaysiaGazette
















