BUTTERWORTH – Kerjasama antara pengamal media dari pelbagai negara perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan laporan yang tepat dan seimbang dapat disampaikan kepada masyarakat sekali gus menangani penyebaran maklumat palsu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jaringan profesional media rentas sempadan penting dalam menghadapi cabaran landskap media global yang semakin kompleks serta dipengaruhi aliran maklumat yang pantas.
Beliau berkata, melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan pemahaman bersama, komuniti media mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam mempromosikan kewartawanan yang berteraskan kebenaran, integriti dan tanggungjawab.
“Kerjasama dalam kalangan profesional media merentas negara juga sama penting. Melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan pemahaman bersama, komuniti media mampu membantu mempromosikan laporan yang tepat dan seimbang.
“Ia juga berperanan dalam menangani penyebaran maklumat palsu serta menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya pada Majlis Makan Malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini, malam ini.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Tambah Fahmi, sambutan HAWANA bukan sekadar platform menghargai sumbangan pengamal media, malah menjadi medan mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan warga media tempatan serta antarabangsa.
“Pengiktirafan terhadap peranan media sebagai rakan strategik pembangunan negara perlu diteruskan bagi memastikan profesion kewartawanan terus diperkasa dalam mendepani cabaran era digital,” katanya.
Untuk rekod, kemuncak sambutan bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena, esok. – MalaysiaGazette
















