Wanderley Machado Da Silva Junior. Foto FB Kelantan City.

KUALA KUMPUR – Kelantan City FC dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Wanderley Machado Da Silva Junior sebagai Ketua Jurulatih baharu Kelantan City FC bagi menghadapi saingan Liga A1 musim 2026/2027.

Jurulatih kelahiran Brazil itu membawa bersama pengalaman luas lebih tiga dekad dalam dunia bola sepak profesional merentasi Amerika Selatan, Eropah dan Asia.

Sepanjang kariernya, beliau pernah membimbing beberapa kelab terkemuka di Thailand, Indonesia dan Malaysia serta mencipta pelbagai kejayaan termasuk membantu Lamphun Warrior muncul juara Thai League 2 dan mara ke Thai League 1.

Antara pengalaman beliau di Malaysia ialah ketika membimbing Kuala Lumpur FA pada musim 2016-2017.

Sepanjang tempoh tersebut, Da Silva Junior berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama skuad ibu negara sehingga diiktiraf sebagai Jurulatih Terbaik Bulanan Liga Malaysia bagi bulan Januari 2017.

“Beliau telah mula melaporkan diri dan menjalankan tugas secara rasmi bersama Kelantan City FC pada 9 Jun lalu.

“Sejak itu, beliau turut mengikuti rapat perkembangan pasukan dengan menilai prestasi pemain-pemain Kelantan City FC yang beraksi dalam kejohanan Wanchai Cup Thailand 2026 sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi musim baharu.

“Pengalaman beliau dalam Liga Malaysia dijangka menjadi satu kelebihan besar buat Kelantan City FC kerana beliau sudah memahami budaya, corak permainan serta cabaran yang dihadapi dalam kancah bola sepak negara,” tulis Kelantan FC di Facebook rasminya di sini hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast