Fuziah Salleh meninjau bekalan dalam sesi walkabout Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasar Raya Econsave Taman Daya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa kerusi itu milik mereka.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

“Ia diselesaikan di peringkat paling tertinggi. Itu dakwaan Amanah Negeri Johor (dakwaan kerusi itu milik mereka) tapi ia diselesaikan di peringkat paling tertinggi,” katanya mengulas dakwaan Amanah Johor kerusi itu milik parti tersebut.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas sesi turun padang Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasar Raya Econsave Taman Daya di sini, hari ini.

Kelmarin Amanah Johor tidak bersetuju kerusi DUN Puteri Wangsa diserahkan kepada PKR pada PRN Johor akan datang.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang keputusan atau persetujuan menyerahkan kerusi tersebut.

“Amanah Johor telah membuat persiapan awal dan menyusun gerak kerja jentera secara menyeluruh untuk mengambil semula dan mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada PRN Johor 2022 atas semangat kerjasama politik ketika itu.

“Amanah Johor mengambil maklum laporan media yang memetik kenyataan berhubung status kerusi tersebut. Namun, kami tidak pasti sama ada berlaku salah tafsir, kekeliruan atau penafsiran yang tidak tepat terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu,” ujar Zuhan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast