Ahmad Zahid Hamidi dan Wan Rosdy Wan Ismail pada Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 malam tadi.

KUANTAN – Sebanyak 5,000 naskah al-Quran diterima sempena Majlis Himpunan Huffaz Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kitab suci itu disumbangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya mengucapkan terima kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana menyumbang 5,000 naskhah al-Quran khusus untuk majlis kita ini dengan nilai keseluruhan RM450,000.

“Kehadiran Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja menyerikan majlis, malah sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh syiar Islam.

“Ia sekali gus serta memperkasa pendidikan tahfiz sebagai salah satu teras penting pembangunan modal insan negara,” katanya

Beliau berucap pada Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 huffaz di pekarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, katanya, pendidikan tahfiz tidak akan berjaya tanpa sokongan institusi-institusi tahfiz yang beroperasi di seluruh negeri.

Menyedari hakikat tersebut, ujarnya, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha membantu dan memperkasa institusi tahfiz agar terus berkembang lebih teratur dan berdaya saing.

Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka, tambahnya, kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM2,000 kepada setiap maahad tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam danAdat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Alhamdulillah, usaha menggalakkan pendaftaran institusi tahfiz menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.

“Sebelum ini pada tahun 2018 hanya terdapat 29 institusi tahfiz sahaja yang berdaftar, hari ini jumlah tersebut telah meningkat kepada 141 institusi’” katanya.

Peningkatan yang begitu ketara itu membuktikan bahawa institusi tahfiz di Negeri Pahang semakin tersusun, diyakini masyarakat dan bergerak dalam satu ekosistem pendidikan yang lebih sistematik.

Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha agar lebih banyak institusi tahfiz dapat didaftarkan dan seterusnya menikmati pelbagai bentuk sokongan serta pembangunan yang disediakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast