KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbalik dilanggar kereta Proton Iriz di Batu 2 1/2 Jalan Meru, Klang pada 16 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.15 tengah hari pada Rabu lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari pada Selasa melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Kelisa dan Proton Iriz.
“Ketika kejadian, pemandu Perodua Kelisa merupakan lelaki berusia 18 tahun dalam perjalanan dari arah Meru menghalan ke Klang.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba kereta Proton Iriz yang memandu dilorong sebelah kiri mengubah haluan ke kanan telah melanggar kenderaan mangsa.
VIDEO BERKAITAN
“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa hilang kawalan dan terbalik di lokasi terbabit manakala pemandu Proton Iriz telah melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang giat mengesan pemandu Proton Iriz terbabit dan kes akan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Sarjan Low Wee Hong di talian 017-674 7946,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















