Majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun TUDM ke-68 disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

KUANTAN –  Seperti dijangka, puluhan ribu pengunjung dari seluruh negara membanjiri Pangkalan Udara Kuantan sempena Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Antara yang mencuri tumpuan ialah pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet yang menjadi simbol keupayaan tempur TUDM, selain pesawat pengangkut A400M, C-130H dan CN235 serta helikopter EC725AP/H225M, AW139 dan EC120B.

Lebih mengujakan, pengunjung turut disajikan dengan demonstrasi penerbangan yang memukau melibatkan beberapa aset utama TUDM termasuk aksi lincah pesawat pejuang dan helikopter dalam latihan taktikal sebenar.

Selain itu persembahan latihan Helicopter Insertion & Extraction (HIE) serta aksi penerjunan anggota elit Pasukan Khas Udara (PASKAU) turut menjadi tarikan utama apabila ribuan pengunjung tidak melepaskan peluang merakam detik-detik mendebarkan tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM, menerusi gimik simbolik menembak suar ke udara yang mencetuskan sorakan ribuan pengunjung dan menandakan bermulanya pelbagai pengisian menarik sepanjang program.

“Acara bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 itu menjadi antara tarikan terbesar tahun ini dengan kehadiran orang ramai seawal pagi untuk menyaksikan pelbagai aset pertahanan udara negara dari jarak dekat.

“Walaupun sambutan ulang tahun kali ini diadakan secara lebih sederhana selaras dengan langkah penjimatan kerajaan, ia tidak mengurangkan kemeriahan acara apabila pengunjung berpeluang melihat sendiri kekuatan sebenar aset-aset udara negara yang menjadi benteng pertahanan ruang udara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan rasmi

Tambahnya, pelbagai aktiviti interaktif disediakan termasuk simulator penerbangan, pameran kerjaya, pameran persenjataan, persembahan Pancaragam Pusat TUDM, Drumline, Badan Kesenian Tentera Udara, reruai agensi kerajaan dan swasta serta jualan makanan yang meriah.

Program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendekati warga TUDM, malah membuka ruang kepada orang ramai memahami peranan strategik angkatan udara dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Penganjuran Hari Terbuka TUDM dilihat berjaya mengukuhkan hubungan antara pasukan keselamatan dan rakyat selain menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Hari Terbuka TUDM 2026 akan diteruskan sehingga esok dengan pelbagai lagi pengisian menarik yang dijangka terus menarik kehadiran pengunjung dari seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast