KLANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) tahun ini 2026 dijangka dimeriahkan dengan penyertaan peserta luar negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Brazil, China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Hungary dan Wilayah Guangxi.
Penyertaan peserta luar negara ini bakal menjadi nilai tambah baharu kepada pameran acara tahunan tersebut.
“Insya-Allah MAHA akan berjalan dengan baik dengan penyertaan luar negara pada tahun ini agak meningkat…Uzbekistan, mereka kata akan hadir dan beberapa negara yang lain (yang masih menunggu pengesahan penyertaan),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Road To MAHA 2026 Zon Tengah di Kompleks Sukan Pandamaran.
MAHA 2026 akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.
Mohamad berkata, tahun ini merupakan pertama kali MAHA menerima penyertaan peserta luar negara.
Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Isham Ishak berkata, penyertaan negara-negara berkenaan akan menjadi manfaat kepada peserta.
“Mereka berpeluang untuk sama ada membeli ataupun menjual produk-produk mereka dan peserta kita juga ada peluang yang sama iaitu membeli ataupun menjual produk-produk daripada luar negara,” jelasnya.
Terdahulu, Mohamad turut melancarkan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pasaran Agromakanan (SISDA) yang dibangunkan bagi memperkukuh sistem pemantauan bekalan dan pasaran makanan negara.
SISDA memanfaatkan teknologi analitis data raya, pembelajaran mesin dan sistem amaran awal untuk membantu kerajaan membuat unjuran serta melaksanakan intervensi yang lebih tepat dan berkesan.
Melalui sistem berkenaan, kerajaan dapat memantau keadaan bekalan, permintaan dan trend harga secara menyeluruh bagi memastikan kestabilan bekalan makanan, harga yang berpatutan kepada pengguna serta pulangan lebih baik kepada pengusaha sektor agromakanan. – MalaysiaGazette
















