Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menolak cubaan pihak-pihak yang menggambarkan dakwah Islam, bimbingan kepada saudara baharu, bantuan kebajikan kepada mualaf atau pembinaan masjid, sebagai suatu bentuk ancaman kepada masyarakat majmuk.

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, tafsiran sedemikian bukan saja tidak adil kepada umat Islam, bahkan boleh mencetuskan prejudis, salah faham serta ketegangan antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurut beliau, jika terdapat dakwaan khusus berhubung paksaan, salah nyata, penipuan atau pelanggaran undang-undang dalam mana-mana kes penukaran agama, ia perlu disalurkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara adil dan berdasarkan bukti.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat mana-mana kenyataan berpotensi menyentuh sensitiviti agama serta menimbulkan keresahan awam, terutama yang dikeluarkan oleh individu berpengaruh, pemimpin politik atau bekas pemimpin.

“Kenyataan umum yang membina persepsi negatif terhadap dakwah Islam tanpa asas kukuh, adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keharmonian negara,” ujarnya menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook.

PPMM membuat gesaan itu susulan kenyataan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew; Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran; serta bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim baru-baru ini, berkait kedudukan dan syiar Islam serta aktiviti dakwah di Malaysia.

PPMM juga menegaskan larangan atau kawalan terhadap penyebaran doktrin dan kepercayaan agama lain kepada umat Islam, bukanlah suatu bentuk diskriminasi.

Sebaliknya, katanya, ia adalah sebahagian kerangka Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang kepada undang-undang negeri dan Persekutuan untuk mengawal perkara itu.

Justeru ujarnya, mana-mana kenyataan yang mempertikaikan kedudukan tersebut perlu dilihat sebagai tidak memahami struktur undang-undang tertinggi negara.

Muhamad Hisham menegaskan aktiviti dakwah secara berhemah, tidak bersifat paksaan dan dibuat dalam ruang undang-undang, adalah selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru, PPMM mengecam sebarang kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan boleh diperkecil, disempit atau diketepikan atas alasan sensitiviti politik, komersial atau tafsiran sekular yang tidak selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Tegas PPMM, dalam isu membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ia memandang serius kenyataan yang mempertikaikan program berkaitan saudara baharu, dakwah Islam dan penerangan agama yang dijalankan secara sah, sukarela serta menurut lunas undang-undang.

Muhamad Hisham berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan, manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu bukan sekadar bersifat simbolik, tetapi asas kenegaraan dengan kedudukan tersendiri dalam struktur Perlembagaan.

Beliau berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak menafikan hak penganut agama lain untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan damai.

“Perlembagaan Persekutuan meletakkan keseimbangan jelas antara kedudukan Islam dan kebebasan beragama.

“Justeru, mana-mana pihak tidak seharusnya mentafsir Perlembagaan secara selektif sehingga menggambarkan Islam seolah-olah perlu disembunyikan daripada ruang awam,” katanya.

Muhamad Hisham turut mempertikai gesaan Chang Khim supaya cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) dibatalkan atas alasan ia boleh menimbulkan ketidakharmonian, mengganggu aktiviti komersial dan hiburan, serta mencetuskan pertembungan kebudayaan.

“PPMM berpandangan kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak sensitif dan boleh menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan raja).

“PPMM menegaskan masjid bukan ancaman kepada keharmonian masyarakat. Masjid adalah institusi ibadah, pendidikan, kebajikan, pembangunan komuniti dan perpaduan ummah.

“Adalah amat keterlaluan untuk menggambarkan pembinaan sebuah masjid yang sah di atas tapak diperuntukkan menurut undang-undang, sebagai faktor yang boleh menggugat keharmonian bandar moden.

“Kenyataan yang mempersoalkan sama ada aktiviti di kawasan komersial perlu dihentikan apabila azan berkumandang, juga memperlihatkan salah faham yang serius terhadap realiti kehidupan masyarakat Malaysia.

“Azan telah berkumandang di negara ini sejak sebelum merdeka dan tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan, pelaburan atau aktiviti komersial. Sebaliknya, syiar Islam telah hidup bersama kemajuan negara dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast