KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM2,000 kepada lima pelajar baharu yang berdepan kesulitan kewangan di Terengganu dan Johor bagi memastikan mereka dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih kondusif.
Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari berkata, bantuan itu merangkumi sokongan yuran pengajian, bantuan sara diri serta insentif pendidikan YPS sebagai usaha membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan meneruskan pendidikan tinggi tanpa halangan kewangan.
Menurut beliau, bantuan tersebut disampaikan kepada empat pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian UPM di Terengganu iaitu Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, Nor Haslinda Ibrahim, Muhammad Aiszudin Alija dan Syaza Irisya Syamsul Azhar, manakala seorang lagi penerima ialah Maizatul Huda Mohd Raz dari Pasir Gudang, Johor.
Katanya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Ziarah Kasih Mahasiswa Baharu Asasi UPM yang memberi fokus kepada pendekatan turun padang untuk menyantuni keluarga pelajar yang memerlukan sokongan awal sebelum melangkah ke alam universiti.
“UPM percaya akses kepada pendidikan tinggi tidak seharusnya terhalang oleh kekangan ekonomi. Melalui pendekatan ziarah dan intervensi secara terus kepada keluarga pelajar, universiti dapat memahami keperluan sebenar mereka serta memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, fasa pertama program berkenaan telah dilaksanakan di Johor minggu lalu membabitkan empat pelajar baharu UPM yang turut menerima bantuan pendidikan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, Program Ziarah Kasih Mahasiswa Baharu UPM akan diperluaskan ke seluruh negara bagi membantu lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“UPM akan memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terus mendapat peluang melanjutkan pengajian tanpa tercicir daripada sistem pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berimpak sosial itu selaras dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang menggesa institusi pendidikan tinggi melaksanakan pendekatan turun padang dan menyalurkan bantuan secara bersasar kepada keluarga pelajar yang memerlukan. – MalaysiaGazette
















