KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara susulan ketidaktentuan geopolitik serta konflik yang berterusan di Timur Tengah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, konflik tersebut mencetuskan kejutan ekonomi global yang memberi kesan langsung kepada peningkatan kos bahan api dan input pertanian utama
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa komited memastikan sistem makanan negara kekal stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Konflik di Timur Tengah memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan dunia dan turut memberi kesan kepada sektor agro makanan negara.
“Justeru, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi mengurangkan beban pengeluar makanan serta memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Radzi Jidin (Putrajaya-PN) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Foong Hin berkata, bagi langkah jangka pendek, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif bagi mengurangkan tekanan kos yang ditanggung petani, pesawah dan nelayan.
“Antaranya ialah pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas baja pertanian seperti Rock Phosphate dan Magnesium Sulphate bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027,” katanya.
Selain itu, jelasnya, Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan dari RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan tambahan peruntukan kira-kira RM40 juta yang memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah di seluruh negara.
“Kerajaan turut memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 sehektar semusim bermula 2025 sebagai langkah tambahan bagi membantu pesawah menghadapi peningkatan kos pengeluaran,” katanya.
Dalam masa sama, katanya,bantuan tunai di bawah program BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan dari RM300 kepada RM400 sebulan mulai April 2026, sekali gus menjadi kenaikan kali kedua susulan perkembangan krisis berkenaan.
Bagi sektor perikanan pula, kerajaan mengekalkan subsidi diesel nelayan pada kadar RM1.65 seliter untuk vesel Zon A, B dan C bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan dapat diteruskan tanpa menjejaskan pendapatan nelayan.
Menurut Foong Hin, KPKM juga memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran makanan domestik menerusi pengoptimuman aset pengeluaran sedia ada.
“Kita memperkasakan kawasan seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta pelbagai program di bawah Pertubuhan Peladang.
“Kerajaan juga memperluaskan pelaksanaan program sara diri rakyat melalui Program Kebuniti dan Program Kebun Dapur Isi Rumah selain menggalakkan amalan pertanian regeneratif yang lebih mampan,” katanya.
Selain itu, katanya, Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026 akan dijajarkan semula dengan memberi keutamaan kepada projek-projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pengeluaran makanan dan mengukuhkan daya tahan sektor agromakanan negara.
Tambah Foong Hin, kerajaan sedang merangka Akta Keterjaminan Makanan Negara untuk menjamin bekalan makanan berterusan, menstabil harga makanan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan rakyat mendapat akses kepada makanan sihat dan berkhasiat.
“Kerajaan mencadangkan pewujudan sistem stok penimbal baja negara yang lebih mampan dan sistematik bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan atau krisis global pada masa hadapan,” katanya.
Dalam usaha melindungi kawasan pengeluaran makanan negara, jelasnya, kerajaan juga bercadang mengisytiharkan Zon Pengeluaran Makanan Negara serta mewartakan tanah pertanian strategik.
“Ia melalui kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















