Razali sedang mencari ibu kandung kepada dua anak angkatnya,  Muhammad Syafiq Rajali (atas) dan Muhammad Arief.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong di sini meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandung kepada dua anak jagaannya yang diserahkan sejak 10 tahun lalu.

Razali Samsudin, 49, memaklumkan, dia dan isteri, Sahira Nurasyiqin Abdullah menerima dua anak angkat ketika mereka masih lagi bayi dan kini cuba menjejaki ibu kandung mereka untuk urusan dokumen Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia berkata, kedua-dua anak angkatnya itu mempunyai surat lahir, kad pengenalan dan  semua dokumen penting kerana ibu mereka adalah warga tempatan.

“Namun saya memerlukan pengesahan ibu kandung mereka seperti yang dimahukan pihak JKM. Anak angkat pertama, Muhammad Syafiq Rajali Abdullah yang kini berusia 11 tahun lahir pada 17 September 2015.

“Ibunya, Musliza Muhamad berasal dari Kelantan menyerahkan Muhammad Syafiq kepada kami di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sehari selepas dilahirkan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Dia berkata, anak angkat keduanya,  Muhammad Arief Syazwan yang kini berusia tiga tahun lahir pada 29 Ogos 2023.

Menurutnya, ibu kandung Muhammad Arief yang berasal dari Sabah menyerahkan kepadanya selepas ibunya, Nurazlina Salleh keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Shah Alam, Selangor pada 9 September 2023.

Sehubungan itu, dia memohon orang ramai yang mengenali kedua-dua ibu kandung anak angkatnya untuk menghubunginya menerusi talian 013-9066210. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast