KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 disifatkan sebagai bukti keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulihkan keyakinan pelabur serta mengangkat semula imej negara di pentas antarabangsa.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi dunia, melonjak 11 anak tangga berbanding kedudukan ke-34 daripada 67 ekonomi pada tahun 2024.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan dasar dan tadbir urus yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil meskipun Anwar belum menamatkan penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri.
Katanya, prestasi tersebut turut memperlihatkan Malaysia semakin dihormati dan mendapat perhatian komuniti antarabangsa selepas berdepan pelbagai cabaran yang menjejaskan reputasi negara sebelum ini.
“Amat wajarlah sekiranya rakyat Malaysia terus mempertimbangkan untuk menyokong usaha-usaha meneruskan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.
“Di peringkat tempatan, rakyat tidak dibebani dengan krisis ekonomi dunia akibat perang AS-Iran manakala di peringkat antarabangsa, nama Malaysia digeruni dan semakin harum terutama selepas bergelut dengan skandal 1MDB sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Misrinah berkata, berdasarkan pencapaian ekonomi semasa, beliau melihat wujud kesungguhan kerajaan dalam mereformasikan birokrasi menerusi pelbagai inisiatif di bawah Jawatankuasa Daya Saing Negara.
Menurutnya, peningkatan daya saing negara bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan memperkukuh tadbir urus dan mengembalikan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
“Pencapaian ini tidak datang bergolek, ia memerlukan keberanian politik untuk membetulkan ketirisan masa lalu dan mengembalikan keyakinan para pelabur global.
“Kestabilan institusi dan kesejahteraan rakyat jelata adalah paksi utama Anwar tanpa perlu terjebak dalam kancah retorik politik yang memihak secara membuta tuli. Kita harus akur, sebuah kepimpinan yang baik dinilai daripada buahnya yang ranum bukan sekadar janji-janji yang gugur sebelum berkembang,” katanya.
Beliau menambah, dasar intervensi kerajaan yang memberi tumpuan kepada kestabilan makroekonomi, kepelbagaian pasaran perdagangan serta pelaksanaan subsidi bersasar telah berjaya memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam mendepani ketidaktentuan global.
Katanya, kebangkitan sektor pelancongan selain kemasukan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor turut menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara sehingga membolehkan Malaysia terus mencatat prestasi yang memberangsangkan.
“Hasilnya, kita tidak tenggelam di karam samudera krisis dunia sebaliknya mampu berdiri tegak mengekalkan lebihan dagangan yang sihat,” katanya. – MalaysiaGazette
















