Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Anthony Loke Siew Fook pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

TANGKAK – Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak menjaga batas semasa Pilihan Raya Negeri PRN (Johor) termasuk dengan tidak membuat sebarang kenyataan yang berkaitan dengan institusi diraja.

Perdana Menteri berkata, dalam sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, setiap pihak perlu memahami batas peranan masing-masing dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah faham politik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, jika tidak bersetuju terhadap satu-satu perkara boleh dirundingkan dengan baik dan dijelaskan.

“Saya nak nasihatkan biar PRN ini PRN antara parti. Jangan kaitkan (dengan pihak lain),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Bukit Gambir, di sini malam ini.

Sementara itu Perdana Menteri menekankan kepentingan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dengan institusi Raja-Raja Melayu, khususnya di Johor.

Beliau turut menceritakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menurutnya berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh rasa hormat, menggambarkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

“Tadi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ke Kuala Lumpur dan saya mengadap. Kenapa? Kerana hubungan kita dengan Raja-Raja Melayu harus kekal baik.

“Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail sebut PMX ini sahabat saya. Apalah saya ini anak kampung ceruk-ceruk, kahwin dengan (Datin Seri Wan) Azizah (Ismail) satu- satunya.

“Tetapi, seorang Pemangku Raja anggap saya sebagai sahabat, sebab itu bila Tunku Mahkota berangkat ke Kuala lumpur dan kata boleh menghadap saya pun terima dengan baik,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast