KUALA LUMPUR – Sanggup berbelanja hingga ribuan ringgit untuk jersi lama, namun bagi Muhammad Azry Azazan, nilai sebenar koleksi itu jauh melangkaui harga yang dibayar.
Pengumpul jersi vintaj itu yang mesra dipanggil Harry berkata, minatnya terhadap jersi era 1990-an bermula daripada keinginan mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak yang pernah membesar sebagai peminat bola sepak.

Menurutnya, jersi-jersi lama atau ‘vintage’ memiliki keunikan tersendiri dari segi warna, reka bentuk dan sejarah yang sukar ditemui pada keluaran moden, sekali gus menjadikannya buruan dalam kalangan pengumpul.
“Jersi yang pelbagai warna, yang mana pada zaman saya membesar dahulu saya tidak dapat untuk memperoleh jersi itu sehinggalah saya mempunyai kewangan yang lebih stabil. Saya lebih serius tentang jersi ini pada tahun 2015.

“Jersi 90-an adalah jersi yang sangat-sangat true colour dan pelbagai warna kerana jersi itu mempunyai usaha untuk mendapatkannya sebenarnya susah kerana kita sudah berada pada zaman era yang lebih ke hadapan sekarang.
“Apabila kita telah meninggalkan jersi itu terlalu lama, iaitu sekitar 20 hingga 30 tahun, usaha untuk mencarinya yang membuatkan saya teruja untuk mendapatkannya semula. Saya mendapatkan jersi ini dari pelbagai platform.

“Saya tidak tumpukan pada satu arah sahaja. Jika saya nampak jersi itu di mana-mana media sosial, saya akan cuba untuk mendapatkannya, contohnya seperti eBay, Grailed ataupun platform jual beli lain seperti Instagram.
“Kalau nak ikutkan harga itu setiap baju ada harga yang berbeza. Range saya boleh cakap daripada harga RM200 hingga RM1,000. Saya tak boleh figurekan berapa harga RM1,000 itu sebab jersi ada pelbagai harga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Bagi Harry, setiap jersi vintaj mempunyai cerita tersendiri kerana ia sering dikaitkan dengan era kegemilangan sesebuah pasukan atau pemain legenda yang pernah menyarungkannya.

Menurut Harry, cabaran utama sebagai pengumpul jersi vintaj pada masa kini ialah memastikan ketulenan setiap koleksi yang diperoleh, memandangkan lambakan jersi tiruan yang seakan-akan sama di pasaran.
Katanya, perbezaan antara jersi asli dan tiruan hanya boleh dikenal pasti melalui penelitian serta kajian terperinci, selain merujuk maklumat daripada pelbagai sumber termasuk rakan pengumpul dan laman web antarabangsa.
“Sebab bila kita berada pada era moden, kita cenderung kepada jersi-jersi yang kita boleh katakan fake atau tiruan yang nampak sama. Tapi sebagai kolektor, kita boleh bezakan. Kena buat research, dapatkan tips dan info dari Google, website luar negara dan komuniti yang berkongsi maklumat,” katanya.
Beliau berkata, minat yang mendalam dalam komuniti pengumpulan jersi turut membuka peluang pelaburan jangka panjang kerana nilai jersi vintaj dilihat tidak mudah merosot, malah berpotensi meningkat dari semasa ke semasa.
“Bila dah berada dalam circle hobi ini, kita boleh teruskan sebab jersi ini ada nilai. Kalau satu hari kita nak jual semula, sukan bola sepak ini sukan nombor satu dunia, jadi permintaan terhadap jersi memang tinggi, terutama jersi lama,” jelasnya.
“Jersi dulu lebih kepada sulaman dan lebih tahan lama. Tapi jersi sekarang dibuat lebih ringan untuk pemain, jadi materialnya lebih mudah rosak,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan itu juga menjadi antara faktor utama dia lebih cenderung mengumpul jersi vintaj berbanding keluaran baharu kerana setiap koleksi membawa nilai sejarah dan nostalgia tersendiri. – MalaysiaGazette
















