TANGKAK – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mempertaruhkan calon Cina, Sharon Teo atau Teo Siew Hui bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau yang pernah menjadi memegang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Johor dan Ketua Wanita Amanah Negara (Warda) Johor itu juga merupakan satu-satunya calon bukan Islam dan bukan Melayu yang mewakili parti berkenaan.
Sharon Teo ketika ditemui dalam Majlis Pengumuman Calon PH di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir di sini malam tadi.
“Amanah sebenarnya adalah parti pelbagai kaum untuk semua, kita bawa satu konsep iaitu rahmatan lil alamin,” katanya yang mengakui merupakan anak didik bekas Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berazam untuk meneruskan kesinambungan dan legasi yang pernah dilakukan Salahuddin semasa menjadi Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram.
Menurutnya, pendekatan tersebut akan dipraktikkan di DUN Permas semasa berkempen nanti.
“Masa saya pergi walkabout jumpa pengundi di Permas, antara masalah dibangkitkan adalah kesesakan trafik, ini adalah satu isu yang sangat besarlah.
“Setiap pengundi yang saya jumpa mereka akan bawa isu ini. Saya akan cuba selesaikan kesesakan di Permas Jaya. Ini saya punya keutamaanlah selain kebajikan penduduk,” katanya.
Majlis pengumuman 56 calon tersebut disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette
















