Empat calon MUDA jika menang PRN Johor berhasrat melakukan reformasi perundangan dan penggubalan dasar lebih progresif.

JOHOR BAHRU – Empat calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berhasrat melakukan reformasi perundangan dan penggubalan dasar lebih progresif.

Mereka dalam satu kenyataan bersama-sama memaklumkan, perubahan yang mahu dilaksanakan itu adalah berteraskan kepentingan rakyat Johor.

“Calon-calon MUDA untuk PRN Johor sebulat suara dan bersetuju untuk meminda semula Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 Bahagian Kedua Fasal 15 berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

“Ini untuk memastikan tidak ada ADUN lantikan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut melibatkan calon DUN Simpang Jeram, Ainie Haziqah Shafii; Calon DUN Maharani, Amir Jack; calon DUN Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied dan calon DUN Bukit Batu, Premanand.

Selain itu, mereka menggesa ADUN untuk membahas dan meluluskan usul berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Anti Lompat Parti di DUN.

Begitu juga katanya, menyerahkan usul untuk memanjangkan tempoh sidang DUN bagi memastikan lebih banyak isu rakyat Johor dapat dibahaskan.

“Ini adalah sebahagian janji-janji kami sebagai calon MUDA untuk memastikan reformasi politik dan tadbir urus yang baik dapat dilaksanakan di Johor seperti yang termaktub dalam Kontrak MUDA Johor.

“Setiap satu dari kami sudah menandatangani Kontrak MUDA Johor sebagai satu iltizam politik yang progresif untuk rakyat negeri ini,” ujar mereka.

Menurut semua calon berkenaan, kegagalan ADUN Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menyegerakan reformasi DUN amat dikesali dan berpunca daripada kegagalan bekerja untuk kebaikan rakyat negeri ini.

“Johor wajar mendapat ADUN yang rajin bekerja, progresif dan fokus kepada reformasi institusi yang segar,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast