JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan membentuk Blog Progresif dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, gabungan tersebut akan membawa suara rakyat Johor serta menjadi entiti yang membawa idea-idea progresif dalam dan luar Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Isu reformasi institusi, iklim dan alam sekitar, ekonomi rakyat adalah tunjang kekuatan suara Blok Progresif. Fokus Blok Progresif adalah juga untuk melawan parti-parti politik yang mempertahankan perasuah, amalan politik lama dan kolot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MUDA memilih untuk bergandingan dengan PSM kerana mempunyai persamaan dalam memperjuangkan isu-isu yang dibangkitkan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu berkata, MUDA dan PSM amat fokus terhadap agenda institusi yang bersih, bersuara untuk rakyat marhain.
“Saya simpan dan genggam azam mereka ini dalam perjuangan MUDA. Tidak ada siapa boleh nafikan kekuatan mereka melawan elit politik dan mahakaya,” katanya.
Amira berkata, sebelum ini, MUDA menjalinkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya sebelum ini kerana gabungan tersebut juga memperjuangkan perkara yang sama.
“Saya masih ingat suasana ketika MUDA masih bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022. Waktu itu, kerjasama kami adalah berteraskan agenda reformasi dan membasmi rasuah yang membunuh potensi negara kita untuk maju ke hadapan.
“Apabila PH membentuk kerajaan Perpaduan, MUDA adalah sebahagian dari kumpulan yang menyokong pembentukan ini kerana percaya janji-janji untuk membanteras rasuah itu masih boleh diusahakan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk kerajaan memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap kes Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjadi penolakan MUDA terhadap PH.
“Ini telah melanggar garisan merah MUDA yang fokus pada isu-isu rasuah dan salah laku. MUDA buat keputusan untuk keluar kerajaan dan menjadi pembangkang yang cekap.
“Jalan ini tidak mudah untuk kami dalam MUDA. Peruntukan Ahli Parlimen Muar disekat, kedudukan saya dalam Dewan Undangan Negeri Johor dikebelakangkan, akses kami untuk bekerja dalam isu-isu rasuah tidak dipandang serius Kerajaan Perpaduan.
“Tapi niat MUDA tetap sama. MUDA paling lantang suarakan isu-isu reformasi institusi, melawan perasuah dan mendesak kerajaan untuk siasat skandal-skandal besar seperti pemilikan saham bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, skandal mafia korporat, pendakwaan terpilih kepada ahli politik kawan dan lawan,” katanya. – MalaysiaGazette
















