Partiben

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan New Bar Course (NBC) bagi menggantikan peperiksaan Certificate in Legal Practice (CLP) disifatkan sebagai langkah tepat.

Ia memperkukuh latihan profesional dan melahirkan lebih ramai peguam yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran sebenar dunia perundangan, kata peguam, M. Partiben.

Menurutnya, sistem CLP yang diamalkan ketika ini sudah tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar profesion guaman yang semakin berkembang dan kompleks.

Menurut beliau, pengalaman melalui sistem CLP sebelum ini menunjukkan pendekatan yang terlalu tertumpu kepada peperiksaan dan hafalan kurang memberi gambaran sebenar mengenai cabaran yang bakal dihadapi di mahkamah dan firma guaman.

“Pengalaman saya melalui CLP menunjukkan sistem berteraskan lima kertas peperiksaan kurang mencerminkan cabaran sebenar di mahkamah dan firma guaman.

“Sistem yang terlalu berfokus kepada peperiksaan dan hafalan semata-mata tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar profesion guaman hari ini.

“Latihan praktikal yang lebih tersusun amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran mengenai cadangan memperkenalkan NBC yang bakal menggantikan CLP dalam usaha memperkukuh latihan bakal peguam.

Menurut Kulasegaran, pendekatan baharu itu akan memberi penekanan lebih besar terhadap pembangunan kemahiran praktikal dan profesional sebelum seseorang menjalani latihan dalam kamar.

Mengulas lanjut, Partiben yang juga graduan CLP berkata, NBC mampu membentuk peguam yang bukan sekadar lulus peperiksaan, sebaliknya mempunyai tahap kompetensi, etika dan profesionalisme yang lebih tinggi.

“Saya yakin New Bar Course yang memberi penekanan kepada kemahiran berhujah di mahkamah, penyediaan dokumen perundangan, khidmat nasihat kepada pelanggan serta penilaian berterusan akan membentuk lebih ramai peguam berkualiti.

“Kita tidak mahu melahirkan peguam yang sekadar lulus peperiksaan, tetapi peguam yang benar-benar kompeten, beretika dan bersedia berkhidmat kepada anak guam serta negara,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan pendekatan itu mampu memperkukuh sistem latihan dalam kamar menerusi bimbingan yang lebih menyeluruh daripada peguam kanan sebelum seseorang diterima masuk ke dalam profesion tersebut.

Katanya, langkah berkenaan juga dapat meningkatkan standard profesion guaman negara supaya setanding dengan amalan antarabangsa yang terbukti berjaya melahirkan pengamal undang-undang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau berharap pelaksanaan NBC dilakukan secara teliti supaya akses kepada pendidikan guaman terus terbuka kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan B40.

“Kualiti perlu dipertingkatkan namun peluang tidak boleh disempitkan. Pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek kos, akses dan bantuan kewangan supaya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir daripada mengikuti laluan untuk menjadi peguam,” katanya.

Beliau berkata, transformasi itu tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pertukaran sistem peperiksaan, sebaliknya satu usaha jangka panjang untuk memperkukuh masa depan profesion guaman negara.

“Sebagai graduan CLP dan juga seorang peguam, saya menyokong penuh transformasi ini demi masa depan profesion guaman Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast